HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Wan Muhammad Azri ditahan lagi

Wan Muhammad Azri (Sir Azri) ditahan polis pada 26 Oktober 2025.

Sepasukan polis di sekitar kediaman Wan Muhammad Azri (Sir Azri) awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Aktivis politik, Wan Muhammad Azri, yang juga dikenali sebagai Sir Azri, ditahan oleh sepasukan polis di kediamannya, awal pagi tadi.

Menurut sumber, sekumpulan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah (Siasatan Khas), D9, tiba di kediaman beliau kira-kira jam 12:50 tengah malam.

Beliau kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 1:20 pagi tadi untuk siasatan lanjut.

Kenalan rapat Wan Muhammad Azri yang dikenali sebagai Ijat dan Zul memberitahu Malay Digest, sebanyak empat kenderaan polis dengan lebih daripada lima anggota dan pegawai terlibat dalam proses penahanan tersebut.

Difahamkan, motif penahanan itu masih tidak diketahui secara rasmi, namun diberitahu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Sebelum ini Wan Muhammad Azri, 42, telah membuat hantaran di media sosial menyatakan kemungkinan beliau akan ditahan pihak berkuasa.

Dalam hantaran tersebut, beliau mendakwa penahanan itu mungkin berkaitan dengan fitnah terhadapnya berhubung dakwaan penglibatan dalam aktiviti pemerdagangan manusia.

Beliau menegaskan, selepas ada pihak yang didakwanya gagal mengaitkan dirinya dengan aktiviti penggubahan wang haram (AMLA), terdapat satu lagi cubaan untuk menganiayai beliau dan keluarga.

Tambahnya tindakan itu bertujuan untuk menghalangnya daripada terus mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Permohonan untuk tahanan reman terhadap Wan Muhammad Azri dijangka akan berlangsung pada jam 9:30 pagi ini.