HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Wan Azri Dibebaskan, Peguam Cabar PM Ambil Tindakan Sendiri Atau Letak Jawatan

Peguam Rafique Rashid bercakap kepada media selepas Wan Muhammad Azri (Sir Azri) dibebaskan.

Wan Muhammad Azri (kiri) & Anwar Ibrahim (kanan).

KUALA LUMPUR — Aktivis Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Sir Azri, hari ini dibebaskan setelah permohonan reman empat hari oleh pihak polis ditolak oleh Majistret. Peguam bela, Rafique Rashid, mengesahkan pembebasan Wan Azri yang dijangka berlaku antara jam 2.00 hingga 3.00 petang ini.

Wan Azri ditahan awal pagi semalam di hadapan rumahnya dan disiasat di bawah tiga akta, iaitu Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505B Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Siasatan ini berpunca daripada kira-kira 12 hingga 13 laporan polis yang dibuat oleh ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) di seluruh negara, didakwa berkaitan dengan penghinaan terhadap Perdana Menteri.

Rafique Rashid dalam kenyataannya di hadapan IPD Dang Wangi hari ini, membantah permohonan reman tersebut dengan mengemukakan tiga hujah utama.

Pertama, beliau menegaskan bahawa Mahkamah Sesyen Klang sebelum ini telah membebaskan Sir Azri dalam satu kes Akta Hasutan yang berkaitan dengan dakwaan Anwar Ibrahim sebagai pro-Zionis Israel dan pro-Barat.

Kedua, Rafique menghujahkan bahawa Seksyen 3(1) Akta Hasutan secara jelas menyatakan kecenderungan menghasut adalah untuk mendatangkan rasa tidak puas hati kepada Raja-Raja Melayu, Sultan, Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan, tanpa menamakan Perdana Menteri sebagai individu.

Ketiga, peguam tersebut mempersoalkan motif di sebalik laporan-laporan polis yang dibuat oleh AMK, dengan menunding jari kepada hubungan politik antara ketua-ketua AMK, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Presiden PKR (Perdana Menteri sendiri), Setiausaha Agung PKR (Menteri Dalam Negeri), dan Ketua Penerangan PKR (Menteri Komunikasi dan Jurucakap Kerajaan).

Beliau menyifatkan tindakan ini sebagai pembaziran waktu, kos, masa dan tenaga anggota polis yang sepatutnya menumpukan perhatian kepada tugas menjaga keselamatan negara, termasuk menjelang lawatan orang kenamaan seperti Donald Trump.

"Adakah rakyat Malaysia nak hidup di bawah PKR sehingga hari-hari buat laporan polis sebegini?" soal Rafique sinis.

Mengakhiri kenyataannya, Rafique Rashid turut menyampaikan nasihat pedas kepada Perdana Menteri dan penyokongnya. Beliau mencabar Perdana Menteri untuk mengambil tindakan sendiri dengan membuat laporan polis jika benar-benar merasakan dirinya dihina dan dibenci.

"Nasihat saya, sudah tiba masanya kalau betul Perdana Menteri merasakan dirinya dihina, rasa dibenci, kita beri dua pilihan. Pertama, Perdana Menteri sendiri ambil tindakan. Kedua, kalau tak tahan sangat, lepaskanlah jawatan Perdana Menteri," tegas Rafique.