HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

UMNO Sudah Rosak. PAS Tempat Orang Melayu Berlindung

Isham Tangga Batu

Isham Jalil ketika menyampaikan ceramah isu semasa di Markas baharu PAS MTD Pantai Kundur, Melaka malam tadi.

MELAKA: Mantan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil mendakwa kira-kira 80 peratus ahli akar umbi "UMNO original" kini tidak lagi menyokong kepimpinan parti itu yang kini bekerjasama dengan DAP menerusi gabungan "UMDAP".

Bercakap dalam sebuah ceramah di Markas PAS MTD Pantai Kundur, Tangga Batu malam tadi, Isham menegaskan bahawa kehilangan sokongan itu melibatkan jutaan ahli yang kini merasa terasing dengan haluan politik parti tersebut.

"Akar umbi UMNO ada 3.5 juta ahli. Sebanyak 80 peratus saya ingat sudah hilang... sekurang-kurangnya 2.8 juta (ahli) dah tak sokong mereka lagi. Perkara ini turut diakui sendiri oleh orang UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu," kata Isham

Aktivis rakyat itu turut menyindir pengumuman Presiden UMNO baru-baru ini mengenai kepulangan semula kira-kira 6,252 bekas ahli ke dalam parti itu. Menurut pengiraan Isham, jumlah tersebut adalah sangat kecil jika dibahagikan mengikut 191 bahagian parlimen (UMNO) di seluruh negara.

"6,252 bahagi 191, bermaksud setiap kawasan parlimen, yang mereka boleh bawa masuk semula hanya lebih kurang 30 orang sahaja. Dia cari berbulan-bulan, akhirnya satu parlimen hanya 30 orang. Saya rasa mereka sudah habis ikhtiar," katanya lagi

Dalam sesi ceramah yang sama, Isham turut mengingatkan ahli-ahli UMNO bahawa jika mereka berhasrat untuk memulihkan semula parti UMNO, gabungan UMDAP harus dikalahkan pada siri Pilihan Raya yang akan datang sambil merujuk kepada kepimpinan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang terus bekerjasama dengan Anwar Ibrahim dan parti DAP.

Isham turut mengimbau pesanan Allahyarham Tun Abdul Razak yang menurutnya pernah menyatakan bahawa sekiranya berlaku apa-apa kepada UMNO, PAS akan menjadi tempat orang Melayu berlindung.

Beliau menyeru ahli UMNO untuk memberi peluang kepada PAS bagi meneruskan perjuangan membela nasib orang Melayu, di samping menolak apa yang dipanggilnya sebagai "politik wang" dan "mafia korporat".

"UMNO sekarang bukan UMNO yang dulu. Kita kena sokong PAS untuk baiki semula parti Melayu ini. Kita tolak mafia korporat, kita tolak harga diesel yang melambung yang memberi beban kepada rakyat," katanya