HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Ucapan Penuh Rafique Rashid di Himpunan Mega Sumud Flotilla & Tolak URA

Bismilläh ir-Rahmän ir-Rahim, Alhamdu lillähi Rabbi l-'alamin. Allähumma salli 'alã Sayyidina Muhammadin wa 'alā ali Muhammad.

Assalamualaikum W.B.T.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Ada satu persamaan tentang apa yang sedang berlaku di Palestin dan Gaza dengan apa yang mungkin akan berlaku di Malaysia.

Masalah yang berlaku di Malaysia sekarang ini bukan masalah yang membabitkan perkauman antara orang Melayu, orang Cina dengan orang India. Isu URA ini tiada kaitan dengan kita Melayu atau kita India ataupun kita Cina.

Masalah URA ini adalah masalah rakyat. Apa yang sedang berlaku di Gaza, di Palestin itu menunjukkan bahawa mereka yang berkuasa, berpangkat, berpengaruh, berharta dan mempunyai wang ringgit, iaitu sang kapitalis, sedang menindas mereka yang lemah.

Kalau kita biarkan Rang Undang-Undang URA ini digunapakai di Malaysia, sepertimana ianya ada yang telah diterapkan dan sedang dibentangkan di Dewan Rakyat, Parlimen, maka percayalah yang akan untung adalah si kapitalis. Yang akan kalah adalah rakyat biasa.

Kerajaan hari ini, mengolok-olokkan tuan-tuan dan puan-puan, menyatakan kononnya kami yang tidak puas hati dengan Rang Undang-Undang URA ini, ingin orang Melayu hanya miskin di bandar, ingin orang Melayu tidak moden, ingin orang Melayu tinggal di flat-flat perumahan lama yang usang dan juga kotor dan tidak bersih.

Tapi percayalah, kalau kita baca Rang Undang-Undang tersebut, ianya meliputi seluruh semenanjung, dan juga boleh dikenakan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Tidak ada dalam mana-mana Rang Undang-Undang tersebut, menyatakan kalau tanah itu milik orang Cina atau orang India, ia tidak akan dikenakan URA. Bermaksud Rang Undang-Undang ini akan kena kepada semua orang.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Orang Melayu dengar di sini. Orang Cina dengar di sini. Orang India dengar di sini. Rakyat Malaysia dengar di sini.

Hak anda sebagai pemilik, pemunya kediaman, hartanah, rumah kediaman, bangunan dan sebagainya, dijamin dan dijaga oleh Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya kerajaan ataupun mana-mana pihak, ingin ambil hak tersebut, ia mestilah dibalas dengan pampasan yang mencukupi ataupun pampasan yang memadai.

Mahkamah-mahkamah Persekutuan dan mahkamah-mahkamah agung sebelum ini, telah dengan jelas menyatakan, pampasan mencukupi atau pampasan memadai itu, maksudnya 'market value' atau harga pasaran.

Puas kita cari dalam Rang Undang-Undang tersebut. Kerajaan tidak mendefinisikan pampasan langsung dalam Rang Undang-Undang tersebut. Malah yang jauh lebih menakutkan dan merisaukan, adalah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

Kalau sekiranya tanah, hartanah, bangunan, kediaman tuan-tuan diambil, kalau kita tidak puas hati, kita boleh lakukan rujukan tanah ke mahkamah. Mahkamah menjadi pengadil, mahkamah menjadi pihak ketiga, mahkamah menjadi benteng kepada rakyat atas kerakusan kuasa eksekutif.

Tetapi di dalam Rang Undang-Undang URA tersebut, di bawah Akta Pembaharuan Semula Bandar tersebut, tidak wujud mana-mana mekanisme untuk ke mahkamah. Malah sebaliknya, diberi kuasa yang amat tinggi dan amat besar kepada seorang Menteri di bawah Rang Undang-Undang tersebut.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Peperangan ini bukan peperangan antara kaum. Peperangan ini peperangan untuk pemaju dan mereka yang menindas kerana mereka kaya.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

139 kawasan di Kuala Lumpur ini telah pun siap sedia, pemaju telah pun melihat kawasan-kawasan ini. Di kampung Sungai Baru, pemaju perumahan, 'gross development value' (nilai pembangunan kasar) nya 2.3 atau 2.6 bilion ringgit. Pampasan yang dibayar, dikhabarkan setakat 62 hingga 63 juta ringgit.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Yang sedang berlaku ini, kapitalis, pemaju sedang bersekongkol dengan kerajaan untuk memastikan menindas hak-hak anda.

Akhir sekali tuan-tuan dan puan-puan,

Rakyat kena bersuara. Rakyat mesti berhimpun. Dan himpunan itu adalah untuk—

Tolak! Tolak! Tolak URA!
Tolak! Tolak! Tolak URA!

Pada 26hb Oktober 2025 dikhabarkan Presiden Amerika Syarikat akan menjejakkan kakinya ke Kuala Lumpur. Apa kata rakyat Malaysia?

Tolak! Tolak! Tolak Trump!
Tolak! Tolak! Tolak Trump!

Dalam masa satu dua hari ini, lagi sekali media dan propaganda kerajaan akan memainkan kononnya jemputan itu adalah atas semangat ASEAN.

Semangat ASEAN dan semangat Malaysia adalah kedaulatan kemerdekaan, hak bersuara dan hak untuk melawan sesiapa sahaja yang ingin menjadi penjajah. Kalau itulah Malaysia dan itulah ASEAN,

TOLAK kehadiran Trump di Malaysia!

Assalamualaikum W.B.T. Terima kasih tuan-tuan dan puan-puan.

Sertai saluran Telegram Malay Digest untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!