KUALA LUMPUR - Prasarana Malaysia Berhad gagal dalam tuntutannya di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan pampasan sebanyak RM30 juta daripada Penang Port Sdn Bhd (PPSB) berhubung kerugian operasi perkhidmatan feri Pulau Pinang.
Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Eddie Yeo Soon Chye, yang mendapati Prasarana tidak berhak menerima pampasan tersebut kerana syarikat milik kerajaan itu menamatkan operasi feri lebih awal daripada tempoh yang dipersetujui.
Dalam penghakimannya, mahkamah menjelaskan pampasan RM30 juta yang dijanjikan dalam perjanjian asal adalah sebagai bayaran kepada Prasarana untuk komitmen jangka panjang mengendalikan perkhidmatan feri sebagai tanggungjawab awam.
Namun, Prasarana, yang mengambil alih operasi feri pada Mei 2018, menamatkannya pada Disember 2020. Ini bermakna syarikat tersebut mengendalikan perkhidmatan itu kurang daripada tiga tahun.
Mahkamah juga mendapati bahawa Prasarana dan PPSB telah memeterai perjanjian baharu pada Jun 2021 yang secara efektif membatalkan hak dan tanggungjawab dalam perjanjian asal. Perjanjian baharu itu merujuk kepada penamatan operasi feri oleh Prasarana.
Sehubungan itu, mahkamah turut memerintahkan Prasarana membayar kos guaman sebanyak RM50,000 kepada PPSB.