Terkini alasan keperluan menjemput Donald Trump dikaitkan dengan kemerdekaan negara. Semalam, Perdana Menteri merangkap Pengerusi ASEAN menekankan keperluan rundingan dengan Trump sebagai langkah terbaik mencapai penyelesaian konflik Palestin-Israel.
Diselitkan oleh Perdana Menteri bahawa kita perlu belajar dari Tunku Abdul Rahman yang berunding dengan penjajah British hingga kita berjaya capai status negara merdeka.
Jauh panggang dari api. Apples and oranges. Perbandingan yang tidak sesuai. Rundingan pada waktu itu adalah satu kewajipan. Itu cara kita capai kedaulatan. Bukan melalui senjata tetapi dengan langkah bijaksana meja bulat. Lagipun Tanah Melayu milik orangnya.
Trump pula adalah ketua negara yang mana kerajaannya bersekongkol dengan zionis Israel. Peruntukan diluluskan oleh Amerika Syarikat bagi membantu aset ketenteraan (baca sebagai penaja genosida) IDF/Israel Forces. Kuasa veto digunakan Amerika Syarikat hampir setiap kali resolusi gencatan senjata ingin dicapai di PBB. Syarikat-syarikat konglomerat serta kapitalis dari Amerika Syarikat menjadi pembekal utama aparat dan mesin-mesin perang pada zionis Israel.
Rakyat Amerika Syarikat sendiri mencemuh presiden mereka kerana terlibat dalam membantu menjaga kepentingan rejim zionis Israel. Memberi alasan demi alasan mengapa jemputan pada Trump mesti diteruskan adalah cubaan normalisasi pemikiran rakyat Malaysia.
Malaysia negara berdaulat yang mesti berani mempertahan hak negara lain yang ditindas. Kalau alasan utama adalah keperluan rundingan, maka terkini oleh kerana nampaknya telah ada usaha damai yang dipersetujui antara semua pihak, maka tiada lagi keperluan untuk menyatakan pendirian Malaysia.
Lagipun, bukankah pendirian Malaysia sentiasa jelas: Palestin berhak merdeka dan Israel tidak diperakui kewujudannya. Oleh itu, beranikah Perdana Menteri merangkap Pengerusi ASEAN gulung balik tikar merah untuk sesi pujian berikutnya pula?
Maklumlah, Axiata Arena sentiasa menanti bagi upacara-upacara sebegitu.