HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Titah Adendum tahanan rumah Najib perlu dilaksana secara adil

Datuk Mohd. Nazifuddin Najib sedang bercakap kepada media.

Foto: Shiddieqiin Zon, UTUSAN

ALOR SETAR – Kerajaan dan Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa melaksanakan segera Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd. Nazifuddin Najib berkata, sudah tiba masanya semua pihak menghormati institusi raja yang menitahkan secara jelas berhubung pelaksanaan hukuman membabitkan bapanya.

“Malam tadi (kelmarin) saya saksikan satu semangat yang luar biasa. Sahabat-sahabat seperjuangan hadir dari seluruh pelusuk negara termasuk dari Sabah demi menyatakan sokongan padu.

“Solidariti ini tanda sokongan yang kuat dan padu untuk ayahanda Najib. Ini bukti cinta kita kepada sebuah perjuangan, kepada keadilan, kepada UMNO yang kita sayang dan saya berharap Titah Adendum itu dapat dilaksanakan dengan adil,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, seramai 160 ketua UMNO bahagian sebulat suara mendesak pelaksanaan Titah Adendum agar Najib dapat menjalani baki hukuman penjara secara tahanan dalam rumah.

Pada 9 Julai lalu, AGC mengesahkan kewujudan Titah Adendum yang didakwa membolehkan Najib menjalani tahanan rumah yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

"Keputusan dijangka hujung bulan ini. Jika Mahkamah Rayuan sahkan kewujudan titah itu, kami mendesak supaya AGC tidak lagi bawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan."

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr. Mohd. Shafei Abdullah berkata, kerajaan tiada alasan untuk melengahkan pelaksanaan titah itu yang dianggap jelas.

Katanya, tindakan menyembunyikan perkara berkenaan bercanggah prinsip Raja Berperlembagaan.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, tidak ada keperluan untuk AGC memanjangkan isu ini kerana yang diminta hanyalah pelaksanaan, bukan kebebasan mutlak.

“Keputusan dijangka hujung bulan ini. Jika Mahkamah Rayuan sahkan kewujudan titah itu, kami mendesak supaya AGC tidak lagi bawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.