KUALA LUMPUR — Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang menjatuhkan hukuman penjara 30 hari ke atas aktivis politik, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Sir Azri, atas tuduhan menghina mahkamah menimbulkan persoalan tentang keadilan dan kebebasan bersuara. Walaupun didapati bersalah dan diperintahkan membayar kos RM30,000, Sir Azri kekal bebas buat masa ini, sementara menunggu rayuan yang akan difailkan.
Peguam Rafique Rashid, melihat keputusan ini sebagai tidak adil. Menurut beliau, tindakan untuk memohon maaf tersebut telah diambil, dan rayuan akan difailkan pada 29 Ogos 2025. Peguam itu juga menegaskan bahawa tindakan utama (saman fitnah) masih belum dibicarakan.
Paling penting, Rafique mempersoalkan mengapa seorang tokoh bergelar Ketua Polis Negara memilih jalan saman dan prosiding komital, sedangkan beliau boleh sahaja menjawab dakwaan yang dibuat oleh Sir Azri. Persoalan ini membuka ruang perdebatan tentang kuasa dan pendekatan yang digunakan oleh individu berprofil tinggi dalam menangani kritikan awam.
Rafique turut mengingatkan agar penyokong Anwar Ibrahim agar tidak terlalu bergembira, kerana terdapat pemimpin dalam UMNO yang pernah dihukum penjara atas tuduhan sama (menghina mahkamah), namun akhirnya dibebaskan.
Semakan mendapati bekas pemimpin UMNO yang kini menjadi penyokong kuat Anwar Ibrahim tersebut bebas sekitar Julai 2024.