HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Siasat Siapa Sabotaj Kedaulatan Negara

Beberapa pemain Harimau Malaya meraikan gol, dengan logo FAM kelihatan di latar belakang.

Foto oleh ABRICE COFFRINI | Kredit: AFP

Pertengahan tahun ini, ada seorang bekas wartawan Astro Arena yang mempersoalkan status tujuh (7) pemain warisan Harimau Malaya antaranya Irazabal, Garces, Palmero, Figueirido, Holgado, Hevel dan Machuca. Kesemua mereka dipersoalkan taraf pertalian darah dengan negara ini tanpa ada pendedahan dari pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Persoalan itu hadir menjelang perlawanan Harimau Malaya menentang Vietnam dalam aksi Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ) 10 Jun lalu. Namun ia bukan satu-satunya persoalan yang muncul. Serentak itu, polemik mula timbul dari peminat-peminat yang mempersoalkan hal sama sambil menyatakan kebimbangan akan tindakan dari Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang berpotensi dikenakan ke atas pasukan kebangsaan.

Seawal itu juga ada cakap-cakap yang mempersoalkan hubungan pemain-pemain tadi dengan “keluarga” mereka di Malaysia. Adakah ianya hubungan secara biologi? Atau sekadar “kontrak sosial”? Lalu timbul pula persoalan—adakah terma yang tidak jelas ini cuba dimanipulasikan? Kesemua persoalan ini timbul dalam ruang maya bersama-sama dakwaan dari peminat-peminat dan pemerhati bolasepak di negara jiran, Indonesia.

Untuk rekod, FAM pernah cuba mendaftarkan pemain kelahiran Belanda, Mats Deijl, yang bermain dalam liga Eredivisie Belanda pada September lalu tetapi ditolak FIFA atas alasan beliau hanya mempunyai darah keturunan melalui moyangnya, bukan melalui datuk atau nenek sepertimana yang ditetapkan dalam syarat FIFA.

Seperti yang dilaporkan akhbar tempatan semalam, FIFA telah mengenakan hukuman denda sebanyak RM1.8 juta terhadap FAM dan RM10,400 setiap seorang dari tujuh pemain tadi kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen. Tidak cukup dengan itu, kesemua pemain terlibat turut digantung 12 bulan daripada menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak berkuat kuasa serta-merta.

FIFA telah mengeluarkan kenyataan

“FAM didapati telah menyerahkan dokumen yang dipalsukan ketika membuat semakan kelayakan dengan FIFA bagi membolehkan tujuh pemain terbabit diturunkan ketika aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.”

Dalam erti kata lain, FAM telah berbohong dengan FIFA, berbohong dengan tujuh pemain tadi, dan berbohong dengan peminat-peminat bolasepak tanahair. 

Sepanjang polemik yang berlangsung 3-4 bulan lalu, FAM sendiri seperti meremehkan untuk berterus-terang mengenai salasilah pemain-pemain warisan tersebut. Malah badan induk itu sendiri yang menyarankan kepada pihak-pihak yang masih tidak berpuas hati supaya melanjutkan aduan kepada FIFA.

“Kalau nak dedahkan pun, kita tiada masalah. Tapi semuanya sudah disahkan oleh FIFA. Jadi kita ikut sahaja saluran dan prosedur yang betul. FIFA adalah satu badan yang tegas dalam semua perkara. Jadi semuanya sudah disemak dan kami mengikut sahaja keputusan daripada FIFA,” kata Presiden FAM Mohd Joehari Ayub, ketika itu.

Apa prosedur yang ditetapkan oleh FIFA? Mari kita semak.

Semua pemain warisan atau naturalisasi baharu Malaysia didaftarkan secara rasmi di bawah sistem FIFA Connect ID sejak 2020. Ini bermakna data setiap pemain Malaysia direkodkan dalam sistem tersebut. Data apa? Tarikh dan tempat lahir, status rasmi kewarganegaraan, sejarah negara dan kelab yang pernah diwakili dan bukti dokumentasi (warisan, pemastautin, naturalisasi). 

Semua pemain warisan Malaysia dikatakan telah melalui proses pengesahan ketat FIFA Connect. Pengesahan warisan pula memerlukan dokumen sah dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau sijil kelahiran ibu bapa.

Persoalan besar disini ialah, jika FIFA mendakwa FAM mengemukakan dokumen palsu, adakah kesemua data pemain warisan yang direkod dalam sistem FIFA connect adalah palsu? Atau sekurang-kurangnya sebahagian dokumen itu palsu.

Lebih menakutkan, adakah dokumen sah yang dikeluarkan oleh JPN itu juga palsu? Jika ini benar, siapa yang memalsukan? Dan atas arahan siapa ianya dipalsukan? Persoalan ini lebih mendesak tatkala hingga hukuman dikenakan, FAM masih gagal mendedahkan kesemua dokumen-dokumen tadi. 

Implikasi pembohongan FAM ini tak boleh dipandang enteng. Badan induk bola sepak negara telah terpalit skandal penipuan, nama pasukan Harimau Malaya secara keseluruhan telah busuk, denda RM1.8 juta itu bukan sikit punya duit, kerjaya bola sepak tujuh pemain yang terlibat itu di ambang suram dan mungkin berakhir awal, kecewa peminat-peminat bola sepak negara tak dapat diungkap, kemenangan yang diraih atas pasukan Vietnam adalah palsu dan selepas ini apa?

Selepas ini kita dapat saksikan pertelingkahan maya antara penyokong-penyokong bola sepak Malaysia dan Indonesia. Fanatisme kedua-duanya tidak perlu diulas lanjut. Kita punya sejarah panjang “perseteruan” bola sepak dengan negara jiran itu. Tidak sukar untuk mencetus ketegangan, cukup dengan satu hantaran media sosial, polemik tegang akan berlangsung berbulan-bulan. 

Hukuman FIFA ke atas FAM hanya membuktikan dakwaan Indonesia selama ini adalah betul. Persoalan dari peminat tempatan selama ini juga berasas. Sementara kita pula mendakwa “disabotaj.”

Oleh yang demikian, wajarlah untuk ditubuhkan Siasatan Suruhanjaya Diraja (SRC) untuk menyiasat dakwaan FIFA—siapa yang memalsukan dokumen JPN itu, dan tangan ghaib mana yang mengarahkannya? 

Jika benar dakwaan FIFA bahawa dokumen tersebut adalah palsu, pihak-pihak yang terlibat bukan sahaja telah mensabotaj pasukan Harimau Malaya, bahkan mereka juga telah membuktikan bahawa wujud ruang untuk mensabotaj kedaulatan negara.