BANGKOK: Penulis politik, Murray Hunter, yang didakwa atas tuduhan memfitnah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diikat jamin 20,000 baht (RM2,500), dan diarah menyerahkan pasport serta dilarang meninggalkan negara Thailand.
Murray didakwa berkaitan dengan sebuah artikel yang diterbitkan di platform Substack pada Jun 2024 bertajuk "The 3Rs are an instrument of tyranny," yang didakwa mengandungi kenyataan yang didakwa SKMM sebagai memfitnah agensi itu.
Petisyen untuk perintah tahanan lanjut telah dikemukakan kepada mahkamah jenayah selatan Bangkok oleh polis Metropolitan Yannawa, Phattanachai Rojanawiphat.
Pengadu mendakwa penulisan Hunter, yang mengkritik agensi kerajaan Malaysia, merupakan fitnah jenayah di bawah undang-undang Thai, meskipun perbuatan itu berlaku di luar Malaysia dan tanpa kaitan dengan bidang kuasa Thai secara langsung.
Dalam satu kenyataan kepada Malay Digest, Hunter meluahkan rasa keletihan namun menegaskan beliau tidak takut tatkala kini dilarang bercakap mengenai SKMM, korupsi dan politik Malaysia.
"Tetapi saya gembira mempunyai pengalaman itu kerana sebagai seorang wartawan, saya tahu bagaimana rasanya dipenjarakan. Sekurang-kurangnya saya boleh berkata yang saya mendapat pengalaman secara langsung," katanya.
Hunter menyifatkan pengalaman itu sebagai "terperangkap dalam sel di negara yang beliau sukar untuk berbahasa," sambil menambah ia tidak menyenangkan dan tiada siapa yang memberitahunya apa yang sedang berlaku. Dalam pada itu Murray turut memuji layanan polis Thai, yang menyifatkan tindakan mereka sebagai profesional.
Isnin lalu Murray ditahan pihak berkuasa Thailand ketika berada di lapangan terbang Suvarnabhumi untuk perjalanan ke Hong Kong. Perbicaraan lanjut dijadualkan pada 17 November ini, di mana SKMM dijangka menghantar peguamnya.