PUTRAJAYA — Kualiti kepimpinan yang utuh dan berwibawa merupakan penentu utama kejayaan sesebuah negara dalam menghadapi krisis. Demikian penegasan yang disampaikan Negarawan ulung, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam satu program anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini, pada Rabu lalu.
Berucap pada program “Dialog Merdeka: Kepimpinan Malaysia dalam Menghadapi Krisis”, Tun Dr Mahathir menegaskan bahawa kemerdekaan adalah anugerah terpenting yang tidak boleh dipandang remeh. Beliau mengingatkan bahawa kebebasan yang dikecapi hari ini adalah hasil pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu yang berjuang sejak zaman penjajahan Portugis hingga era British.
"Jika sebelum merdeka kita dipaksa berdiri untuk bendera asing, hari ini kita perlu berdiri dengan rela untuk bendera kita sendiri. Sekurang-kurangnya, kibarkanlah bendera kita dengan sempurna, kerana jika tidak, itu merupakan satu penghinaan kepada pejuang kemerdekaan," tegas beliau lagi.
Dialog tersebut turut menampilkan tiga panelis terkemuka, iaitu Tan Sri Dr Syed Hamid Albar (mantan Menteri Kabinet), Datuk A Kadir Jasin (Tokoh Wartawan Negara), dan Profesor Dato’ Dr Sivamurugan Pandian (Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia). Sesi dialog dikendalikan oleh pengasas PUSAKA, Encik Eddin Khoo.
Selesai sesi dialog, Tun Dr Mahathir turut meluangkan masa melawat Pameran Kemerdekaan dan Pameran Khas ‘The Centennial Celebration’ yang sedang berlangsung di YKP, Putrajaya sehingga 30 September 2025 ini. Pameran Kemerdekaan bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang perjalanan pembangunan negara sejak merdeka, manakala Pameran Khas ‘The Centennial Celebration’ diadakan sempena ulang tahun ke-100 Tun Dr Mahathir yang mengetengahkan perjalanan kepimpinan dan pencapaian beliau dalam membentuk hala tuju Malaysia.