PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya, Rob Friend menegaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang penglibatan dalam urusan dokumentasi atau pendaftaran pemain-pemain warisan yang kini sedang disiasat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut Friend, tanggungjawab pasukan kebangsaan hanya tertumpu kepada aspek teknikal, strategi dan prestasi pasukan, manakala hal-hal berkaitan dokumen dan pendaftaran rasmi dikendalikan sepenuhnya oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta pihak berkaitan termasuk kerajaan.
“Kami tidak terlibat langsung dalam mana-mana proses dokumentasi. Fokus kami adalah terhadap persiapan pasukan, prestasi pemain dan perancangan taktikal bersama ketua jurulatih.
“Apa yang kami lakukan hanyalah mendapatkan maklumat daripada FAM mengenai senarai pemain yang sedang melalui proses naturalisasi,” katanya dalam sidang media khas FAM, semalam.
Jelas beliau, peranan skuad kebangsaan dalam isu pemain warisan hanya bermula selepas proses dokumentasi selesai dan menerima kelulusan rasmi daripada FIFA.
“Selepas pendaftaran disahkan dan FIFA mengeluarkan dokumen kelulusan, barulah pasukan kebangsaan menerima notis rasmi dan kami boleh menilai pemain terbabit untuk disenaraikan dalam skuad,” ujarnya.
Tahun lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menyifatkan pelantikan Robert Douglas Friend sebagai langkah strategik yang akan membawa impak positif kepada skuad Harimau Malaya.
Menurutnya yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), pengalaman dan kepakaran Rob Friend dalam mengurus serta membangunkan pasukan akan memberikan dimensi baharu kepada bola sepak Malaysia.
“Keputusan terbaik adalah melantik seorang jutawan yang sangat berkelayakan, mempunyai pengetahuan mendalam tentang bola sepak, memiliki rangkaian luas dalam dunia bola sepak, dan seseorang yang benar-benar mencintai sukan ini.
“Dengan kelayakan ini, jika suatu hari nanti Malaysia tidak lagi memerlukan khidmatnya, JDT pasti akan menyambutnya dengan tangan terbuka,” katanya dalam sebuah hantaran di Instagram story.