KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Rafique Rashid, membidas keras penganjuran festival 'Rave & Rain', dengan menyifatkan acara tersebut sebagai satu pembaziran dan ejen perosak yang mempromosikan budaya hedonisme.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau semalam, Rafique menegaskan bahawa festival sedemikian bukan sahaja asing bagi budaya Malaysia, malah beliau yakin tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka terjebak dalam aktiviti yang berunsurkan budaya barat itu.
"Rave adalah satu budaya yang usulnya dari barat. Muzik 'electronic dance music' (EDM) dicampur pergaulan bebas, alkohol, dadah, serta perbuatan-perbuatan yang bukan dari adat ketimuran," tegas beliau.
Rafique turut menyelar tindakan beberapa pihak dalam kerajaan yang kini mula mengkritik acara tersebut selepas ia mendapat tentangan hebat daripada orang awam. Beliau mempersoalkan integriti menteri-menteri yang terlibat dan membangkitkan prinsip tanggungjawab kolektif dalam kabinet.
Tambah beliau, penganjuran pesta sebegitu adalah tidak wajar memandangkan rakyat sedang ditekan dengan arahan berjimat cermat ekoran kos sara hidup yang tinggi dan kesan konflik di Asia Barat.
Mengulas lanjut, Rafique menolak hujah pihak tertentu yang mendakwa orang Islam yang tidak bersetuju untuk 'jangan hadir' ke festival tersebut.
"Menutup kawasan Bukit Bintang semata-mata untuk jadikan kawasan tersebut parti liar adalah perkara yang paling tidak masuk akal. Menjadikan ia program rasmi lagi dangkal," katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, Rafique turut menyelar alasan kononnya festival tersebut diadakan untuk menunjukkan sikap toleransi Malaysia dan menarik pelancong. Beliau menegaskan bahawa identiti Malaysia seharusnya dibina atas kepelbagaian kaum dan agama yang tinggi dengan nilai adab serta akhlak, bukannya dengan meniru gaya hidup barat.