SEPANG: Aktivis Wan Muhammad Azri, atau lebih dikenali sebagai Sir Azri mendakwa wujud penyalahgunaan agensi kerajaan bagi menekan seteru politik dalam perbicaraan kes yang membabitkan hantaran Facebook beliau berkaitan penarikan sokongan ahli parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, tahun lalu.
Bercakap kepada Malay Digest selepas prosiding hari pertama, aktivis berkenaan mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang bertindak sebagai pengadu dalam kes tersebut, dan bukannya orang awam atau individu yang terkesan.
"Saya terkejut kerana dalam kes ini, pengadu adalah pihak MCMC sendiri. Bermakna bukan orang awam yang buat laporan. Kerajaan menggunakan agensi sendiri untuk buat laporan ke atas saya," katanya kepada Malay Digest hari ini.
Wan Azri juga mendakwa tindakan tersebut adalah satu bentuk tekanan politik memandangkan menteri yang menerajui kementerian berkaitan adalah Ketua Penerangan PKR, serta individu yang dikaitkan dalam hantarannya adalah daripada kepimpinan tertinggi PKR. Azri turut mempersoalkan mengapa ahli parlimen atau parti yang terlibat tidak memulakan tindakan saman sivil, sebaliknya menggunakan jentera kerajaan untuk memulakan pendakwaan.
"PKR tak ambil tindakan saman ke atas saya, sebaliknya menggunakan agensi kerajaan untuk menekan seteru politik dia," ulas beliau sambil membandingkan situasi ini dengan kes-kes terdahulu yang melibatkan Perdana Menteri.
Terdahulu pada disember tahun lepas, Wan Muhammad Azri Wan Deris, 43, berhadapan pertuduhan di bawah Seksyen 233 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Beliau mendakwa Ahli parlimen PKR "dikhabarkan telah menarik sokongan kepada Anwar selaku Perdana Menteri".
Antara individu yang dinamakan termasuk Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi (Setiawangsa), Akmal Nasrullah (Johor Bahru), Tan Kar Hing (Gopeng), Chang Lih Kang (Tg Malim), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Syed Ibrahim (Ledang), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Wong Chen (Subang), Onn Abu Bakar (Batu Pahat) dan Aminuddin Harun (Port Dickson).
Tan Kar Hing, bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan sambil memaklumkan bahawa beliau sedang mendapatkan pandangan peguam dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap aktivis terbabit. Namun tiada tindakan lanjut dari pihak ahli parlimen Gopeng itu setakat ini.
Saksi pendakwaan yang terdiri dari pihak MCMC dalam keterangannya hari ini menyifatkan hantaran Azri sebagai bersifat provokatif dan boleh menggugat kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan. Walau bagaimanapun, Azri, mempersoalkan mengapa agensi penguatkuasa secara proaktif memulakan kes yang disifatkannya sebagai bermotifkan politik kepartian.