KUALA LUMPUR 25 Ogos – Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) diberi tempoh sebulan untuk berunding hak bekalan gas di Bintulu susulan keputusan mahkamah menangguhkan prosiding kes pertikaian antara kedua-dua pihak pada Isnin.
Dalam satu kenyataan, PETRONAS berkata permohonan bersama penangguhan itu dibenarkan bagi memberi ruang kepada rundingan yang sedang berjalan diteruskan.
“Pihak-pihak masih terlibat dalam perbincangan dengan matlamat mencapai penyelesaian,” kata syarikat minyak dan gas negara itu.
PETRONAS dan Petros telah merujuk kepada mahkamah bagi menentukan penerima sah bagi bayaran gas yang dibekalkan ke fasiliti Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd di Bintulu.
Untuk rekod, perjanjian bekalan gas antara PETRONAS dan Shell MDS telah ditandatangani pada 2020. Namun pada 2024, Petros turut menandatangani perjanjian baharu dengan Shell MDS selepas diberi mandat oleh Kerajaan Sarawak sebagai pengagregat tunggal gas di negeri itu.
Mahkamah seterusnya mengarahkan PETRONAS meneruskan bekalan gas ke Shell MDS meskipun tidak menerima bayaran bulanan yang dianggarkan antara RM70 juta hingga RM100 juta. PETRONAS kini mencabar perintah injunksi tersebut.
Pertikaian ini berlaku ketika Sarawak semakin mendesak agar memiliki kawalan lebih besar terhadap sumber minyak dan gasnya, termasuk memperoleh pulangan lebih tinggi melalui bahagian bekalan gas domestik yang lebih besar.
Sarawak yang menguasai lebih 40 peratus rizab gas negara, turut mengeksport gas asli cecair (LNG) melalui kontrak yang dimeterai oleh Petronas.
Awal tahun ini, pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan persetujuan bahawa Petros menjadi pengagregat gas di negeri tersebut.
Pada masa sama, kedua-dua kerajaan turut menegaskan pengiktirafan terhadap Akta Pembangunan Petroleum (PDA) sebagai “Akta Persekutuan seperti diperuntukkan undang-undang” serta memberi jaminan bahawa kontrak eksport sedia ada tidak akan terjejas. - DagangNews.com