George Santayana pernah menitipkan pesan yang cukup mendalam: sesiapa yang melupakan sejarah, mereka akan dihukum untuk mengulanginya.
Tanggal 10 Mei 2018 kekal sebagai satu titik sejarah yang mendewasakan demokrasi Malaysia. Ia adalah bukti sahih bahawa perubahan sebenar bermula di tangan rakyat, dengan syarat ia dipandu oleh kepimpinan yang selayaknya. Namun, melihat kepada landskap politik hari ini, timbul satu persoalan besar: Adakah kita sudah mula lupa?
Masihkah kita ingat bagaimana gerakan rakyat disatukan demi melawan sebuah sistem kleptokrasi yang mencengkam negara? Pada waktu itu, pelbagai parti politik yang dahulunya bertelagah dan saling bermusuhan, akhirnya sanggup merendahkan ego masing-masing.
Mereka dibawa ke meja rundingan, diajar untuk menerima kekurangan rakan sekutu, dan diadun supaya kekuatan kolektif dapat diperkasakan. Kepentingan diri diletakkan di tepi demi mendahulukan kelangsungan negara. Perjuangan menyelamatkan Malaysia menjadi misi tunggal yang menyatukan mereka di bawah satu payung yang sama.
Tanpa penyatuan yang dipimpin oleh susuk yang kini digelarkan dengan pelbagai gelaran negatif, impian untuk menjejakkan kaki ke Putrajaya hanyalah sebuah mimpi kosong.
Namun, melihat kepada situasi sekarang, seolah-olah wujud satu jurang ingatan yang besar dalam kalangan pemimpin yang ada. Saya melihat ramai yang seakan tercengang, terlopong, dan terbuai dengan keindahan serta kemewahan Putrajaya. Mungkin ada yang masih tidak percaya bahawa mereka bergelar 'Menteri' sehingga terlupa asal-usul perjuangan yang membawa mereka ke sana.
Adakah kita enggan belajar daripada sejarah? Saya sering tegaskan bahawa Tun Mahathir tidak gagal. Sebaliknya, yang gagal adalah kita—mereka yang enggan mengambil ibrah daripada sejarah tersebut.
Masih segar di ingatan saya, suasana dua jam sebelum Istiadat Angkat Sumpah pada 10 Mei 2018. Dalam sesi latihan pendek di Istana Negara itu, tersirat seribu satu harapan rakyat yang mahukan perubahan. Banyak lagi naratif yang ingin diceritakan, namun mesej utamanya tetap sama: sejarah adalah guru yang paling jujur.
Persoalannya, adakah pemimpin hari ini mahu terus hanyut dalam buaian kuasa, atau kembali membumi dan menghargai sejarah yang telah mematangkan kita semua? Jangan sampai sejarah menghukum kita kembali kerana keangkuhan kita untuk melupakannya.