Presiden & CEO kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, ketika diwawancara oleh Ketua Pengarah Penyiaran yang baharu, Ashwad Ismail, 3 April lalu berkata bila harga minyak dunia naik, tak semestinya Petronas untung luar biasa sebab ada kos lain yang terlibat. Antaranya kos penghantaran dan premium insurans. Dan ini sedikit sebanyak mengekang keuntungan Petronas.
Beliau menambah, terdapat 3 keadaan yang boleh diramal hasil dari analisis senario. Paling digeruni apabila konflik ini berlarutan dan memuncak hingga menyebabkan gangguan terhadap infrastruktur kritikal, premium risiko geopolitik kekal tinggi, di samping risiko kemelesetan global akan menjadi semakin ketara.
“Sejak dua dekad kebelakangan, pengeluaran minyak mentah Malaysia telah menurun. Kemuncak pengeluaran minyak mentah kita adalah pada tahun 1990 - 2000 di mana pengeluaran boleh mencecah sehingga 700,000 tong sehari. Sekarang Malaysia hanya mampu mengeluarkan kira-kira 300, 000 tong sehari. Lalu menjadilah Malaysia sebuah negara pengimport bersih minyak mentah sejak 2014/2015”, katanya.
Sambil mengakui walaupun kebergantungan import tenaga negara hanya pada kadar 40 peratus, namun tidak ada jaminan kadar itu menjadi pelindung sepenuhnya.
Apa yang menarik di sini adalah, pengeluaran gas asli negara masih banyak, siap boleh dieksport. Apabila disoal Ashwad apakah kekuatan yang ada pada negara Malaysia disebalik konflik yang semakin memuncak ini, Tengku M. Taufik memberitahu kita masih memegang status negara pengeluar dan pengeksport bersih tenaga, iaitu gas asli.
Lebih menakjubkan lagi apabila krisis yang melanda Timur Tengah sekarang ini rupa-rupanya telah memberi "durian runtuh" kepada bos-bos syarikat tenaga di seluruh dunia. Ketika berjuta-juta isi rumah sedang pening kepala memikirkan kos sara hidup yang semakin mahal, nilai kekayaan bos-bos besar ini pula melonjak naik sehingga £4.3 juta setiap seorang. Akhbar Daily Mirror UK, semalam melaporkan nilai pegangan saham 10 bos industri global ini telah meningkat sebanyak £66 juta secara keseluruhan sejak krisis ini bermula pada hujung bulan Februari.
Peningkatan harga pasaran sangat menguntungkan beberapa eksekutif syarikat tenaga gergasi di UK. Siapa Bos-Bos Yang Buat Untung Besar ini?
- Linda Z Cook—Harbour Energy. Nilai pegangan saham beliau telah naik sebanyak £4.3 juta, menjadikan jumlahnya kini £26.2 juta. Nilai ini ibarat beliau untung £1 juta bagi setiap minggu peperangan tersebut berlangsung. Pakej gaji beliau pula bernilai £10 juta.
- Wael Sawan—Shell. Nilai saham bos Shell ini meningkat sebanyak £1.7 juta kepada hampir £13.2 juta. Beliau yang mempunyai pendapatan sebanyak £13.7 juta turut menerima durian runtuh tambahan bernilai £10 juta hasil daripada skim ganjaran saham sebelum ini.
- Carol Howle—BP. Dalam masa sebulan sahaja, nilai saham beliau bertambah lebih daripada £500,000 menjadi £2.8 juta. Beliau menerima gaji sebanyak £1.5 juta untuk jawatan tersebut.
- Chris O'Shea—Centrica/British Gas. Saham beliau telah naik sekitar £385,000 kepada £13.1 juta. Pakej gaji tahunannya adalah bernilai £4.7 juta.
Menurut Mirror Daily, peningkatan nilai saham dalam syarikat-syarikat pengeluar tenaga ini telah didorong oleh tindakan Iran yang menyekat Selat Hormuz, di mana satu perlima daripada minyak dan gas asli cecair dunia biasanya melalui selat itu.
Jika saham Chris O’Shea (Centrica/British Gas), pengeluar dan penyedia gas dan tenaga terbesar di UK boleh naik mencanak hanya dalam tempoh beberapa minggu, nampaknya persoalan yang dilontarkan oleh saudara Isham Jalil ada asasnya.
Berapakah keuntungan bersih tambahan yang Petronas dapat hasil dari pengeluaran gas asli di tengah-tengah konflik sekarang ini? Berapa gaji Tengku Muhammad Taufik sekarang? Seperti Isham, saya juga setuju apa yang sedang dilakukan oleh PETRONAS ini ada keuntungannya, bukanlah terkekang. Jujurlah dengan rakyat. Bumi sedang hangus teruk, manakala bos-bos syarikat tenaga ini pula semakin kaya raya.