HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Penyerahan Kekayaan Negara

Peguam Rafique Rashid

Rafique Rashid. (Gambar Fail)

Perjanjian yang dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat umpama hitam putih. Tiada yang kelabu. Lihat saja pada terma perjanjian. Berat sebelah. Memihak pada Amerika Syarikat.

Klausa 2.1 Perjanjian tersebut menyatakan Malaysia tidak boleh kenakan lesen pengimportan pada barangan dari Amerika dalam bentuk yang menghadkan kemasukan barangan tersebut. Tidak boleh kenakan syarat yang akan mengurangkan daya saing produk Amerika.

Klausa 2.3 menyatakan Malaysia mesti memberikan akses tanpa diskriminasi atau akses pasaran keutamaan kepada produk-produk pertanian dari Amerika. Ini termasuk produk keju dan daging yang sebelum ini mempunyai piawaian pematuhan tinggi, kini perlu pula ikut piawai pematuhan yang Amerika gunakan.

Klausa 5.1 pula dengan jelas menyatakan Amerika boleh sahaja mengenakan apa sahaja kuota, duti kastam, halangan, fi(bayaran) atau apa-apa halangan atas mana-mana produk atau perkhidmatan ke atas mana-mana negara ketiga (negara lain) dan maklumkan yang sama kepada Malaysia.

Sebaik pemakluman, Malaysia mesti mengguna pakai piawaian tersebut sepertimana Amerika atau sekurangya bersamaan dengan syarat-syarat Amerika tersebut.

Klausa 5.2 pula Malaysia juga mesti menerima dan melaksanakan syarat-syarat oleh Amerika berkaitan import dan eksport ke atas syarikat-syarikat negara lain yang beroperasi di Malaysia.

Malaysia juga terhalang secara bebas untuk memasuki mana-mana perjanjian perdagangan bebas dua hala atau perjanjian keutamaan ekonomi dengan negara lain yang dikira sebagai mengganggu hak kelebihan Amerika dan sekiranya berlaku serta negosiasi antara Amerika dan Malaysia gagal, tariff 19% akan ditarik balik.

Syarikat-syarikat GLC Malaysia yang menjalankan perniagaan komersial pula mesti berbuat demikian tanpa mendiskriminasi produk atau perkhidmatan Amerika.

Selain itu terdapat juga perniagaan nadir bumi kepada Amerika dimana tiada halangan penjualan serta pemberian lesen operasi kepada syarikat-syarikat Amerika.

Malaysia juga telah bersetuju membeli 30 kapal terbang dengan tambahan opsyen 30 buah lagi. Selain dari pembelian barangan semikonduktor, komponen aeroangkasa serta pusat data pada kadar USD 150 billion.

Ditambah pula dengan janji Malaysia membeli 5 juta tan gas petroleum cecair pada kadar USD3.4 billion setahun. Barangan telekomunikasi dan arang batu pada USD 204.10 billion.

Kemudian Malaysia juga bersetuju memberi pelaburan dana kapital dalam Amerika sebanyak USD 70 billion.

Malaysia sebuah negara merdeka. Bebas berniaga dan berdagang dengan sesiapa sahaja. Tetapi dengan perjanjian ini jelas kebebasan kita disekat dikawal dan dipandu selia oleh apa yang Amerika mahu.

Negara kita kaya dengan sumber asli. Kita berhak tentukan bagaimana dan dengan cara apa kita akan menggunakan sumber negara kita sendiri. Mengapa kita harus ikut telunjuk orang lain?

Seperti kita semua sedia maklum, nadir bumi ini sumber teknologi tenaga baru. Seluruh dunia tahu perkara ini. Maka Malaysia berada dalam posisi kelebihan.

Langkah terbaik adalah dengan memastikan Malaysia sentiasa berada di lengkok hadapan. Maknanya kalau mahu nadir bumi kita, mesti kita yang tentukan syaratnya.

Mengapa kita mahu tunduk pada orang lain, sedangkan orang lain yang mahukan nadir bumi kita.

Bagaimana pula dengan hak kita sebagai negara bebas dan berdaulat untuk tentukan dengan siapa dan dengan syarat apa kita mahu berniaga?

Kenapa ini semua tidak difikirkan oleh Kerajaan sebelum memeterai perjanjian dengan Amerika?

Apa kita sebagai negara tidak cukup hebat? Kita perlu ikut cakap negara yang lebih besar dari kita? Malaysia ini negara kecil maka mesti berdansa ikut rentak yang super power? Malaysia tidak boleh bersama negara lain? Mesti hanya ikut barat?

Kemderdekaan kita tuntut hampir 70 tahun lalu kerana mat salleh jarah negara kita dengan hasil bumi kita. Mat salleh juga yang tentukan apa cara hidup kita, cara kita berhubung dengan negara lain.

Penjajahan tanah air ini berakhir dengan pena. Kini dijajah semula, kita biarkan kekayaan dan hak bebas kita dipunggah orang luar, oleh mat salleh, juga dengan pena.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis sebagai pengamal perundangan, aktivis dan ahli politik