Ketika Malaysia rancak menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh kemeriahan, laungan kegembiraan dan semangat perpaduan, suasana berbeza berlaku di Gaza. Ribuan kilometer dari sini, di suatu sudut dunia yang lain, rakyat Palestin di Gaza terus berjuang untuk hidup dalam kegelapan dan penderitaan yang tiada henti.
Kementerian Kesihatan Gaza mendedahkan bahawa jumlah penduduk yang hadir ke hospital dan pusat rawatan di wilayah itu meningkat mendadak sejak beberapa hari lalu dengan simptom penyakit misteri. Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Dr. Munir al-Bursh, pesakit menunjukkan gejala seperti demam panas, sakit sendi, hidung berair, batuk dan cirit-birit, namun pihak perubatan tidak dapat mengenal pasti punca sebenar penyakit tersebut.
Beliau menjelaskan, Gaza tidak memiliki keupayaan asas seperti makmal atau kemudahan ujian darah akibat sekatan berterusan rejim Israel. “Kami terpaksa memberikan rawatan dalam keadaan amat daif. Ada pesakit yang tulangnya diikat menggunakan batu bata, pembedahan dilakukan menggunakan cahaya telefon bimbit, malah alat pernafasan terpaksa dioperasikan secara manual ketika bekalan elektrik terputus kerana kekurangan bahan api,” katanya.
Tegas Dr. Munir, keadaan itu berlaku ketika penduduk Gaza terus berdepan serangan pembunuhan beramai-ramai, kebuluran terancang dan ancaman penjajahan sepenuhnya yang menyaksikan banyak kawasan kediaman dimusnahkan. Beliau turut menyelar sikap membisu kebanyakan komuniti antarabangsa berhubung penderitaan penduduk Gaza yang semakin parah dari hari ke hari.
Krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing susulan serangan ketenteraan Israel yang berterusan dan sekatan ketat terhadap bantuan kemanusiaan ditambah pula dengan kekurangan bekalan makanan, air bersih, ubat-ubatan dan peralatan kebersihan menambahkan lagi penderitaan rakyat. Sejak Oktober 2023, rejim Israel dilaporkan telah membunuh lebih 63,000 penduduk Palestin, sekali gus memusnahkan sebahagian besar infrastruktur dan menjadikan wilayah itu berdepan kebuluran teruk.