HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Penangguhan RUU URA Bukti Kerajaan Hilang Sokongan?

Peguam dan aktivis Rafique Rashid

Gambar fail: Peguam dan aktivis Rafique Rashid.

Kuala Lumpur – Rang Undang-Undang (RUU) URA yang dibentangkan di Parlimen semalam dilaporkan ditangguhkan pembacaannya selepas mendapat bantahan hebat daripada pelbagai pihak. Penangguhan ini, menurut peguam dan aktivis Rafique Rashid, merupakan bukti jelas bahawa kerajaan semasa telah hilang sokongan, bukan sahaja daripada pihak pembangkang, tetapi juga dari dalam gabungan kerajaan sendiri.

Dalam satu hantaran di laman Facebooknya, Rafique Rashid menyatakan bahawa RUU URA, yang kini menjadi isu kontroversi, hanya sempat dibaca separuh jalan sebelum Barisan Nasional dan ahli parlimen dari PKR memohon agar ia ditangguhkan. Bantahan terhadap RUU ini bukan hanya datang daripada pembangkang, malah mendapat tentangan kuat daripada masyarakat sivil dan rakyat biasa.

"Maka terbukti sudah. Dalam kerajaan pun tidak percaya. Bukan pembangkang atau rakyat sahaja," tulis Rafique, merujuk kepada permohonan penangguhan daripada parti-parti dalam kerajaan.

Beliau menambah, penangguhan RUU tersebut dibuat kerana dikhuatiri tidak akan mendapat sokongan majoriti, sekali gus akan mendedahkan kekurangan bilangan ahli parlimen yang menyokongnya. "Ia akan jadi bukti tidak cukup bilang," katanya.

Rafique Rashid melihat situasi ini sebagai petanda kerajaan yang goyah dan telah hilang mandat. Beliau berpendapat bahawa mandat seharusnya dipulangkan kembali kepada rakyat untuk memilih siapa yang layak membentuk kerajaan. "Biar rakyat pilih siapa layak bentuk Kerajaan," tegas beliau.