HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Pemimpin Jangan Buat Terlampau Banyak Dosa

Podcast Dr. M

Tun Dr. Mahathir ketika diwawancara dalam podcast Dr. M yang diterbitkan pada 21 April 2026.

PUTRAJAYA: Negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan peringatan tegas kepada individu yang memegang tampuk kepimpinan negara supaya tidak menyalahgunakan kuasa atau melakukan "dosa" sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Menurut beliau, seseorang pemimpin perlu mengelak daripada melakukan perkara yang salah kerana segala tindakan mereka bakal terdedah kepada tindakan undang-undang sebaik sahaja mereka tidak lagi berkuasa.

"Pemimpin dia jangan buat dosa terlalu banyak. Pasal bila dia tak jadi pemimpin, macam-macam tindakan boleh diambil terhadapnya," kata beliau dalam satu sesi podcast Dr. M yang diterbitkan hari ini.

Beliau menambah bahawa apabila seseorang itu bukan lagi pemimpin, perlindungan kuasa akan hilang dan mereka boleh didera atau dihukum atas kesalahan yang dilakukan semasa memerintah.

Dalam wawancara sama, Dr Mahathir turut menyentuh mengenai kualiti yang perlu ada pada seorang pemimpin, terutamanya keberanian dalam membuat keputusan luar biasa atau "outside the box" ketika mendepani krisis.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keberanian tersebut bukanlah satu tindakan melulu, sebaliknya ia mestilah berdasarkan "calculated risk" (risiko yang diperhitungkan). Beliau mengambil contoh bagaimana Malaysia menangani krisis mata wang dengan membekukan pasaran dan mengekalkan nilai ringgit setelah mengkaji model dari negara lain seperti China dan Chile.

"Seseorang pemimpin tidak mungkin selesaikan sendiri (masalah). Dia perlu tanya pakar-pakar. Sebab itu di masa saya jadi Perdana Menteri, saya kumpul sebilangan pakar supaya mereka boleh nasihat saya," jelas beliau mengenai proses membuat keputusan sukar," katanya

Menyentuh mengenai hubungan luar negara, Dr Mahathir menjelaskan bahawa layanan baik yang diterima Malaysia daripada Iran hari ini—termasuk keizinan laluan kapal di Selat Hormuz—adalah hasil diplomasi yang dibina sejak berpuluh tahun lalu.

Beliau mendedahkan bahawa Malaysia sentiasa mengamalkan sikap tidak memihak, termasuk ketika perang antara Iran dan Iraq, atas dasar bahawa peperangan hanya merugikan umat Islam.

Malah, Malaysia pernah mengambil langkah berani membekalkan minyak kelapa sawit kepada Iran ketika negara itu berdepan sekatan ekonomi (sanction).

""Bagi kita yang utama ialah keadilan dan kestabilan negara mereka. Kalau orang paksa kita musuhi negara itu, kita jangan ikut cakap orang. Kita buat keputusan kita sendiri," katanya lagi mengenai prinsip kedaulatan negara dalam menentukan hala tuju diplomatik.

Dr Mahathir merumuskan bahawa sikap berbaik-baik dan tidak melakukan perkara yang merugikan pihak lain adalah kunci kepada penghormatan antarabangsa yang dinikmati Malaysia sehingga kini.