SHAH ALAM – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak menolak kerjasama pakatan elektoral dengan Perikatan Nasional (PN) bagi mengelak pertembungan dan pertindihan kerusi dalam pilihan raya.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu sememangnya belum memuktamadkan kerjasama dengan gabungan blok pembangkang berkenaan.
Namun, beliau yakin semua pihak memahami peluang terbaik untuk memenangi kerusi pilihan raya adalah menerusi pertembungan satu lawan satu.
“Sebagai contoh, Pejuang menarik diri daripada mempertahankan empat kerusi iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra dan Anak Bukit (Kedah), Jeram serta Batang Kali (Selangor) yang membuahkan kejayaan kepada PN.
“Pada waktu itu, kami serah sepenuhnya kepada PN dan berkempen untuk mereka bagi memastikan semua kerusi dimenangi PN. Ia terbukti berjaya,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung parti itu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.
Hadir sama, pengasas Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Wanita Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
"Agenda Melayu tidak pernah merugikan kaum lain malah kesejahteraan rakyat Melayu yang sebahagian besarnya masih ketinggalan arus kemajuan akan membawa kesejahteraan bagi sahabat etnik lain."
Mengulas lanjut, jelas Mukhriz, kerjasama dengan parti gabungan PN dan parti lain bergantung kepada isu semasa.
“Jika wujud keserasian pendirian, kedua-dua pihak boleh bekerjasama. Masuk (PN) sebagai gabungan itu masih terbuka untuk dibincangkan.
“Dalam pertemuan semalam (dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin), belum ada keputusan muktamad dibuat mengenai bentuk kerjasama yang boleh diwujudkan,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya ketika ini bersikap terbuka dan sedia duduk semeja untuk berbincang.
“Bagi pandangan saya, ini dianggap sebagai perkembangan yang amat positif. Saya tidak mahu mendahului pandangan atau pendirian PN. Suasana ketika ini positif bagi memupuk bentuk kerjasama yang sesuai,” katanya.
Terdahulu, Mukhriz dalam ucapan perasmiannya berkata, Pejuang menyokong hasrat Tun Mahathir dalam menyatukan parti dan pertubuhan Melayu di bawah satu ‘payung besar’ di negara ini.
“Apabila majoritI Melayu bersatu padu, perpaduan lebih inklusif bersama semua kaum akan berjaya dicapai,” katanya.
Perhimpunan itu turut dihadiri dua pemimpin kanan MIC iaitu Setiausaha Eksekutif Pusatnya, A. T. Kumararajah dan Setiausaha Agung, S. Ananthan.