HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Pejuang Nafi Letak Calon di PRN Sabah

Pejuang Nafi Letak Calon di PRN Sabah

Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), hari ini menafikan penglibatan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, susulan kemunculan seorang calon yang didakwa mewakili parti dan menggunakan logo parti itu di kerusi N.25 DUN Kapayan semasa hari penamaan calon.

Menurut Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid, dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Eksekutif Pusat (MEP) parti tidak pernah memberi mandat kepada sesiapa untuk bertanding dalam PRN Sabah 2025 atas nama Parti Pejuang Tanahair.

Beliau turut menegaskan bahawa Presidennya, Dato' Seri Utama Haji Mukhriz Bin Mahathir, tidak pernah mengeluarkan sebarang watikah pencalonan kepada mana-mana individu untuk tujuan PRN Sabah 2025 bagi bertanding menggunakan nama, logo, dan tiket parti.

Berikutan kekeliruan ini, Pejuang menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk segera mengambil tindakan bagi memperbetul keadaan. Selain itu, arahan telah dikeluarkan kepada wakil Pejuang Sabah untuk membuat laporan polis serta-merta berhubung isu penyalahgunaan dan penipuan terhadap logo parti itu.

Sebaliknya, Pejuang telah memutuskan untuk menyokong dan menggerakkan jentera kempen bagi membantu calon-calon Perikatan Nasional (PN) di 41 kerusi yang ditandingi oleh gabungan tersebut.

Sementara itu, Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir, dijadual berada di Sabah pada 21-23 November ini, bersama wakil-wakil parti dari Semenanjung dan Sabah, untuk tujuan membantu calon PN mencapai kemenangan.