HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Peguam Gesa Anwar Jawab Komen Mantan Presiden Indonesia

Peguam Gesa Anwar Jawab Komen Mantan Presiden Indonesia

Mantan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY)

Peranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN dalam rundingan damai Thailand-Kemboja terus dipersoalkan, susulan laporan bahawa dokumen yang ditandatangani di Kuala Lumpur bulan lalu hanya sebuah "deklarasi bersama" dan bukannya "perjanjian damai".

Dalam satu hantaran Facebook hari ini, peguam, Rafique Rashid mendakwa perkembangan itu mendedahkan kecenderungan Anwar untuk "memperbesar sesuatu perkara bila ianya tidak wujud."

Kritikan itu dibuat selepas Thailand hari ini dilaporkan menggantung "Perjanjian Damai" dengan Kemboja, ekoran insiden dua askar Thai cedera akibat periuk api di kawasan sempadan.

Menurut Rafique, media tempatan sebelum ini giat mengiktiraf "kehebatan" Anwar atas peranannya dalam peristiwa 26 Oktober itu, yang turut menyaksikan penglibatan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

"Tular pelbagai berita seolah tanpa Anwar tidak akan ada damai antara Kemboja dan Thailand," tulisnya.

Bagaimanapun, Rafique memetik laporan portal Khmer Times pada 4 November lalu, yang melaporkan bahawa Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet "dengan sengaja enggan mengiktiraf dokumen tersebut sebagai sebuah 'perjanjian'".

"Maka, judul rasmi bagi peristiwa 'bersejarah' ini sebenarnya hanyalah sebuah deklarasi bersama," dakwa Rafique.

Dalam hantaran sama Rafique turut mempersoalkan penglibatan kuasa luar, khususnya Trump, dalam apa yang disifatkannya sebagai konflik serantau.

Beliau memetik kenyataan mantan presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY), yang didakwa "meluahkan rasa malu" terhadap tindakan Trump sebagai pengantara.

"SBY menegaskan bahawa ASEAN harus menyelesaikan konflik serantau secara bebas melalui acuan sendiri. Campur tangan kuasa luar seperti penglibatan Trump menggugat prinsip autonomi serantau ASEAN," tulis Rafique.

Rafique juga mendakwa bahawa ketika konflik itu memuncak pada Julai tahun ini, kedua-dua Thailand dan Kemboja tidak menyebut nama Anwar, Malaysia, mahupun Trump dalam surat mereka kepada Presiden Majlis Keselamatan PBB.

Tambahnya, laporan CNA sebelum ini menyatakan bahawa Thailand lebih cenderung memilih rundingan dua hala (bilateral) berbanding menerima tawaran perantaraan daripada AS, China, atau Malaysia.

Menyentuh mengenai kritikan SBY, Rafique menggesa Anwar untuk menjawab secara terus.

"Sebelum ini, Anwar Ibrahim mengecam tuduhan 'pengintip' oleh seorang bekas Jeneral... Bagaimana pula kali ini? Mantan Pengerusi ASEAN ke-18 & 19, SBY juga telah bersuara menegur hal yang sama.

"Anwar perlu jawab mengapa ikut telunjuk kuasa luar... Mesti jawap jelas bersandar fakta bukan putaran alasan sama," tegasnya.