JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan segera mengambil tindakan penguatkuasaan susulan penularan video mengenai ajaran sesat di Parit Raja, Batu Pahat baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri bertegas bahawa isu ini tidak dipandang ringan dan siasatan terperinci perlu dilakukan mengikut undang-undang.
Katanya, insiden itu telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan kerajaan negeri komited dalam mengenal pasti serta membanteras sebarang bentuk ajaran yang menyeleweng tanpa sebarang kompromi.
“Segala bentuk khurafat, tahyul, pemujaan salah atau ritual bercanggah dengan syariat Islam serta kegiatan-kegiatan menyebabkan agama Islam dipandang rendah adalah dilarang sama sekali. Perbuatan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
“Johor tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak menggugat keharmonian dan kedaulatan agama Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi satu minit di media sosial memaparkan ritual pemujaan yang dilaporkan berlaku di Batu Pahat.
Menurut Onn Hafiz berkata, Yang di-Pertuan Agong. Sultan Ibrahim bertitah dan mengingatkan semua umat Islam di Johor berpegang kepada akidah Islam yang murni dan sebenar manakala sebarang ajaran songsang tidak boleh diberi ruang bertapak dan berkembang di negeri ini.
“Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail turut bertitah agar semua institusi agama, kepimpinan masyarakat dan pihak berkuasa memperkukuh penguatkuasaan serta pendidikan bagi memastikan umat Islam terhindar daripada ajaran sesat, khurafat dan tahyul demi memelihara akidah dan kesejahteraan,” katanya.
Katanya, seluruh rakyat khususnya para penghulu, ketua masyarakat, penggerak masjid serta semua pihak berkuasa berkaitan untuk bersama-sama memastikan aktiviti khurafat, pemujaan dan ajaran sesat dihentikan sepenuhnya. – UTUSAN