KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, menegaskan bahawa orang Melayu kini memerlukan barisan kepimpinan yang mempunyai kualiti berbeza, termasuk keberanian untuk mengakui identiti asal negara ini sebagai Tanah Melayu.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya hari ini, Zaid berkongsi intipati ucapan yang disampaikan beliau di hadapan sekumpulan penyokong PAS dan Umno di Negeri Sembilan, semalam.
Beliau menekankan bahawa rakyat, khususnya orang Melayu, perlu memahami dengan mendalam tentang tujuan sebenar di sebalik agenda perpaduan yang sering dilaungkan. Zaid menyatakan bahawa dari segi struktur kuasa, orang Melayu sebenarnya sudah pun berada di kedudukan tertinggi merangkumi institusi raja-raja, perkhidmatan awam, sehinggalah kepada barisan ahli politik.
Namun apa yang diperlukan sekarang bukanlah sekadar penguasaan jawatan, tetapi pemimpin yang lebih berkualiti dan sentiasa beringat akan asal-usul mereka. Beliau menegaskan perlunya ada tokoh yang cukup berani untuk menyatakan secara terbuka bahawa negara ini adalah Tanah Melayu.
Selain itu, Zaid turut menyentuh soal integriti dalam tadbir urus ekonomi. Beliau menyeru agar negara diterajui oleh pemimpin yang jujur dan tidak mempunyai ketamakan, selain menuntut lebih banyak pengorbanan dari pemerintah.
"Kita perlukan patriot untuk menguruskan mesin kerajaan, supaya orang kaya dan orang luar tidak menentukan dasar negara.untuk menyusun serta menstrukturkan semula dasar ekonomi negara. Lebih penting lagi, kita tidak mahu orang munafik berpengaruh dan berkuasa di Putrajaya, kata beliau lagi dalam hantaran di Facebook".