KUALA LUMPUR Mantan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil, hari ini mengesahkan bahawa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengklasifikasikan siasatan terhadapnya berhubung isu "bekalan diesel yang dihantar ke negara Filipina" sebelum ini sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Menerusi satu kenyataan di media sosial, Isham memaklumkan bahawa beliau telah diberitahu oleh MCMC bahawa tiada sebarang kesalahan dilakukan, serta telefon bimbitnya yang dirampas sebelum ini akan dipulangkan semula.
Isham, yang juga seorang aktivis, menyifatkan tindakan awal pihak berkuasa merampas harta peribadinya sebagai langkah yang tidak wajar dan "kuku besi". Beliau menegaskan bahawa kerajaan seharusnya mempunyai standard yang tinggi sebelum bertindak merampas harta benda awam dan tidak melakukannya sewenang-wenangnya.
"Apabila tukar kerajaan kelak, insya-Allah kita akan berlaku adil kepada rakyat dalam menangani kritikan dan bukan bertindak kuku besi dan cepat 'koyak' seperti menteri-menteri dan pemimpin politik hari ini," katanya.
Siasatan tersebut sebelum ini berpunca daripada hantaran Facebook Isham pada 11 April 2026, di mana beliau memetik laporan berita Filipina mengenai dakwaan penerimaan 329,000 tong (52 juta liter) diesel dari Malaysia. Hantaran tersebut kemudiannya disekat oleh Facebook atas arahan MCMC pada hari berikutnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Isham menyatakan beliau akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa menabur fitnah terhadapnya sepanjang isu ini berlangsung.
Beliau telah mengenal pasti alamat tiga daripada empat individu yang merupakan penyokong kerajaan untuk diserahkan surat tuntutan (LOD). Setiap individu tersebut bakal berdepan tuntutan saman sivil berjumlah RM10 juta, menjadikan nilai keseluruhan tuntutan tersebut mencecah RM40 juta.
Beliau turut menasihatkan para cybertrooper penyokong kerajaan agar berhenti mengamalkan budaya fitnah dalam politik yang disifatkannya sebagai "barah" kepada sistem demokrasi.
"Dalam Islam, fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh. Bersama kita berjuang ke arah negara yang maju dan bersih," tambahnya.