KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Muhammad Rafique Rashid Ali, menyelar tindakan segelintir pihak yang didakwanya 'melompat kepanasan' dan 'gelupur' susulan kenyataan Menteri Besar Kedah mengenai sejarah dan kedudukan orang Melayu.
Beliau merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu ceramah yang menekankan bahawa orang Melayu hanya mempunyai tanah air di sini, berbanding kaum lain yang mempunyai negara asal seperti India, China.
Dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, Rafique menegaskan bahawa kenyataan tersebut hanyalah satu perbandingan geografi dan bukannya satu bentuk hasutan atau cubaan untuk menghalau kaum lain.
"Mana ayat halau? Tolong tunjuk tang mana kenyataan itu kata 'kaum lain sila balik negara asal'? Tiada!!!" tegas beliau sambil menambah bahawa ia merupakan fakta geografi bagi menyedarkan rakyat tentang asal-usul tanah air mereka.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebelum lahirnya Malaysia, bumi ini dikenali sebagai Malaya atau Tanah Melayu, di mana taraf kewarganegaraan menerusi prinsip jus soli telah dipersetujui atas semangat kontrak sosial.
Rafique membidas peguam dan ahli politik yang didakwanya "buta sejarah" kerana gagal memahami bahawa mengakui status asal tanah ini tidak sedikit pun mengusik hak warganegara kaum lain.
"Mengakui status asal tanah ini langsung tidak mengusik atau mengurangkan hak warganegara kaum lain yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Hak semua kaum tetap terpelihara," katanya lagi.
Peguam kanan itu turut mendakwa terdapat taktik terancang untuk membuatkan orang Melayu merasa bersalah (guilt-trip) apabila berbicara mengenai sejarah dan hak sendiri.
Menurutnya, tindakan pihak lawan yang terus membuat laporan polis dan melabelkan sesuatu fakta sebagai isu 3R (Agama, Bangsa, Raja) menunjukkan mereka telah "mati hujah".
"Sembang pasal kebebasan bersuara dan demokrasi, tapi bila orang bentang fakta sejarah terus label 3R. Jangan hipokrit, belajarlah terima hakikat sejarah," ujar beliau mengakhiri kenyataan tersebut.