HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Jangan Sibuk Kapal Lain. Jaga Kapal Sendiri Yang Dah Bocor

Rafique Rashid

Rafique ketika menyampaikan ucapan di Ceramah Umum Perdana PN-BN bertempat di Markas PAS Seremban pada 22 Julai lalu.

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PEJUANG, Rafique Rashid menyelar kenyataan menteri DAP, Hannah Yeoh yang mengumpamakan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai kapal Titanic yang sedang menunggu masa untuk karam.

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Rafique menyifatkan Yeoh sebagai "fobia" dan takut melihat penyatuan orang Melayu.

"Menghairankan menteri hari ini. Begitu fobia dan takut apabila orang Melayu mahu bersatu. Mengapa perlu takut? Sejarah membuktikan, apabila kaum teras atau majoriti stabil dan bersatu, negara aman dan semua kaum turut mengecap kekayaan bersama," katanya.

Terdahulu, Yeoh yang juga Timbalan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, mendakwa kerjasama BN-PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak dibina atas asas kepercayaan dan hanya menanti waktu untuk karam kerana masing-masing mempunyai cita-cita politik untuk menjadi Perdana Menteri.

Mengulas naratif "politik persahabatan" yang dijulang Yeoh, Rafique mendakwa ia hanyalah sekadar "kabel penyelamat" demi mempertahankan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Yeoh tidak membangkitkan isu "politik persahabatan" itu ketika Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan bersama BN selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Mengapa Hannah tidak komen macam ni masa PH jabat tangan dengan BN bentuk kerajaan pasca PRU-15? Bukan masa itu lawan politik? Kalau hendak angkat Anwar, halal pula persahabatan?" soal beliau.

Sementara itu, Rafique menegaskan terdapat perbezaan ketara antara kerjasama BN-PN dalam PRN Negeri Sembilan kali ini berbanding pembentukan kerajaan PH-BN sebelum ini

Menurutnya, persefahaman PN-BN dibuat sebelum pilihan raya, yang membolehkan rakyat membuat pilihan dengan jelas. "Lain kalau macam lepas PRU-15 tiba-tiba lawan jadi kawan," tambahnya lagi

Dalam nada amaran, Rafique menasihatkan Yeoh supaya tidak sibuk meramal karamnya kapal pihak lain, sebaliknya memantau "kebocoran" pada kapal kerajaan sendiri.

Beliau memetik kegagalan pentadbiran, kenaikan harga barang, kos sara hidup yang meruncing, serta janji reformasi yang didakwanya telah dicabuli sebagai punca kegagalan PH.

"Bersedialah, kerana 'aisberg' kemarahan rakyat sedang menanti kamu di peti undi," kata Rafique.