KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Parti PEJUANG, Rafique Rashid, hari ini meluahkan "kebimbangan" mengenai trend rakyat yang semakin terbuka menjadikan Perdana Menteri sebagai bahan jenaka di media sosial, menyifatkannya sebagai petanda jelas hilangnya rasa hormat terhadap kepimpinan negara.
Dalam satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini, Rafique menegaskan bahawa pada masa lalu, rakyat mengangkat seorang pemimpin atas dasar hormat, namun situasi kini dilihat sudah berubah.
Beliau memberikan contoh bagaimana slogan-slogan tular seperti “hentikan guru, kami malu guru” yang sering digunakan dalam video hiburan di platform TikTok dan Instagram kini mula diulang-ulang oleh orang ramai. Menurut beliau, perkara ini bukan lagi sekadar serangan politik biasa, tetapi merupakan isyarat bahawa maruah jawatan tertinggi negara itu sedang terhakis.
“Pemimpin sebuah negara tidak sepatutnya menjadi bahan ketawa. Yang dipermalukan bukan sahaja dirinya, tetapi maruah jawatan Perdana Menteri dan imej Malaysia di mata dunia,” kata beliau dalam hantaran tersebut
Rafique turut menekankan bahawa dalam sebuah sistem demokrasi, kehilangan kerusi dalam pilihan raya adalah lumrah, namun kehilangan penghormatan rakyat adalah sesuatu yang jauh lebih sukar untuk dipulihkan
Beliau mengingatkan bahawa jawatan yang dipegang bukanlah hak milik mutlak, sebaliknya merupakan amanah yang dipinjamkan oleh rakyat. Tegasnya, rasa hormat tidak boleh dipaksa, sebaliknya perlu diperoleh melalui kepimpinan yang berkesan, keteladanan, dan kepercayaan rakyat.
“Jika setiap ucapan disambut dengan sindiran, setiap tindakan menjadi bahan jenaka, dan setiap kemunculan mengundang rasa malu, seorang pemimpin perlu bertanya kepada dirinya sendiri kenapa perkara itu berlaku,” tambah beliau lagi.
Mengulas lanjut mengenai kedudukan Anwar, peguam itu menyatakan bahawa maruah seseorang pemimpin tidak diukur melalui tempoh masa beliau memegang jawatan, tetapi melalui kebijaksanaan untuk mengetahui masa yang sesuai untuk berundur.
Beliau menyifatkan tindakan terus memegang kuasa di saat keyakinan rakyat semakin merosot bukanlah satu tanda kekuatan, sebaliknya hanya melambatkan satu proses yang tidak dapat dielakkan.
“Apabila rakyat sudah malu dengan pemimpinnya, pemimpin itu sepatutnya malu untuk terus memimpin,” katanya sebagai penutup, sambil menggesa agar suara rakyat didengar demi menjaga maruah negara.