HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Politik dan Dasar Ekonomi Madani Berkiblatkan White House

Tan Sri Abdul Hadi Awang

Presiden PAS, Tan Sri, Dato' Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Foto: FB rasmi TGHH

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, tampil mengingatkan mengenai ancaman serangan pemikiran yang didakwanya sedang dilancarkan bagi melemahkan jati diri umat Islam di negara ini.

Dalam tulisan terbaru di portal Harakah Daily hari ini, beliau menegaskan bahawa walaupun penjajahan fizikal telah berakhir, pendekatan halus melalui pendidikan dan media kini digunakan untuk menghakis kepercayaan terhadap ajaran Islam.

Tuan Guru Hadi menyelar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya mengamalkan sikap tidak adil dan menggunakan helah tidak demokratik setelah merampas kuasa, selain turut mempersoalkan slogan 'Madani' yang dibawa oleh kerajaan hari ini.

"PH berslogankan madani yang kiblat solatnya ke arah Baitullah di Makkah, adapun kiblat politik dan ekonominya ke arah White House (Rumah Putih) di Washington," katanya dalam satu tulisan di Harakah Daily hari ini

Beliau mendakwa pentadbiran PH berteraskan konsep sekularisme dan liberalisme yang berpandukan kaedah politik Barat iaitu "matlamat menghalalkan cara"

Ahli Parlimen Marang itu juga mendakwa Parti Tindakan Demokratik (DAP) menggunakan naratif Islamofobia untuk menyekat kemaraan "gelombang hijau" atau sokongan terhadap PAS

Beliau mendakwa DAP sengaja menggambarkan Islam sebagai agama keganasan dan menyifatkan kumpulan Melayu yang menyokong parti itu sebagai "kumpulan luar tabii" yang bersifat sekular fanatik serta cauvinis ekstrem.

Mengulas lanjut mengenai hala tuju negara, Tuan Guru menegaskan bahawa bangsa Melayu-Islam wajib memimpin Malaysia kerana kedudukan mereka sebagai penganut Islam yang mendominasi. Beliau mendakwa tindakan politik PH ketika ini membahayakan kedaulatan Melayu-Islam serta meminggirkan bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan dan pentadbiran

Justeru, beliau menyeru agar PAS mendahului usaha penyatuan bersama Umno, Barisan Nasional (BN), serta kumpulan Melayu-Islam yang lain, selain menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan parti bukan Islam yang dianggap tidak ekstrem seperti MCA, MIC, dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), serta melibatkan penyertaan dari Sarawak dan Sabah