KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) dilaporkan telah menganugerahkan kontrak bernilai RM178.29 juta bagi sistem Caj Jalan (RC) dan Permit Masuk Kenderaan (VEP) di sempadan Malaysia-Singapura kepada Integriti Padu Sdn Bhd.
Apa yang menjadi tumpuan adalah Pengerusi Eksekutif, Datuk Nasir Baki, pemegang 34% saham syarikat itu, merupakan adik kepada bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Memetik laporan mingguan kewangan The Edge yang disiarkan semula oleh Sin Chew Daily pada Ahad, kontrak selama enam tahun itu merangkumi skop pembangunan, operasi, dan penyelenggaraan sistem berkenaan.
MOT dilapor menganugerahkan kontrak tersebut kepada Integriti Padu pada 26 Mei lalu, iaitu hampir setahun selepas Permohonan Cadangan (RFP) dikeluarkan pada 30 Jun 2025.
Berdasarkan dokumen pemfailan syarikat, Nasir Baki memegang 34 peratus kepentingan, manakala anak perempuannya, Madiah, yang bertindak sebagai Pengarah Urusan syarikat memegang 20 peratus saham.
Baki 46 peratus saham lagi dimiliki oleh Ice Age Property Sdn Bhd. Syarikat hartanah ini pula dikaitkan dengan ahli perniagaan dan bekas ahli politik, Datuk Sufian Awang, yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Selain projek RC/VEP, Integriti Padu juga dilihat berjaya merangkul beberapa kontrak kerajaan yang lain baru-baru ini. Pada Januari lalu, syarikat itu memperoleh kontrak RM40.85 juta untuk tempoh tiga tahun daripada Kementerian Komunikasi melalui tender terbuka bagi mengendalikan RTMKlik 3.0, sebuah perkhidmatan penstriman percuma oleh RTM.
Pada tahun lalu, Integriti Padu turut dianugerahkan kontrak bernilai RM45.34 juta daripada Kementerian Pendidikan melalui perjanjian sewa beli selama lima tahun untuk membekalkan peralatan ICT kepada pentadbiran sekolah-sekolah di Sabah.