HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Rakyat Dah Bersatu, Pemimpin Pembangkang Yang Belum

Rafique Rashid

Ketua Penerangan PEJUANG, Rafique Rashid. Foto: Free Malaysia Today (FMT).

KUALA LUMPUR Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rafique Rashid, menegaskan bahawa blok pembangkang perlu segera mengetepikan perbezaan dan bersatu demi memacu langkah ke Putrajaya, memandangkan rakyat kini dilihat sudah mencapai kesepakatan yang lebih ampuh berbanding pemimpin mereka sendiri.

Dalam satu kenyataan di akaun Facebook miliknya hari ini, beliau mengingatkan bahawa perpecahan dalam kalangan pembangkang hanya akan memberi keuntungan kepada pihak lawan.

"Telah saya katakan berkali-kali, rakyat telah bersatu. Yang masih belum bersatu ialah pemimpin-pemimpin pembangkang," katanya sambil menekankan keperluan untuk menggabungkan semua aspirasi dan nilai perjuangan yang sama.

Mengulas mengenai situasi politik semasa, Rafique mendakwa "doktrin tanggungjawab kolektif" (collective responsibility) dalam kabinet Kerajaan Madani kini seolah-olah sudah berkubur apabila ahli-ahli kerajaan mula menzahirkan pendirian yang tidak selari di media.

Beliau memetik beberapa contoh ketegangan dalaman kerajaan, termasuk situasi di Negeri Sembilan di mana terdapat pihak yang tidak lagi mempercayai Menteri Besar namun tetap mahu kekal dalam kerajaan.

Malah, situasi di Johor turut menjadi sorotan beliau apabila Barisan Nasional (BN) menyatakan hasrat untuk bertanding secara "solo" dalam pilihan raya akan datang, yang kemudiannya disambut dengan kesediaan Pakatan Harapan (PH) untuk melawan semula.

Rafique meramalkan bahawa pertelingkahan antara parti-parti dalam kerajaan akan menjadi semakin parah dalam beberapa minggu akan datang menjelang musim kempen pilihan raya.

Beliau mendakwa pemimpin kerajaan akan mula memainkan "lakonan" politik dengan menggunakan retorik prinsip dan perjuangan rakyat untuk menggambarkan ketidakselesaan mereka berada dalam gabungan yang sama.

Bagaimanapun, beliau percaya kesemua parti tersebut akhirnya akan bergabung kembali selepas pilihan raya semata-mata demi mengekalkan kuasa.

Justeru, beliau memberi amaran kepada blok pembangkang agar tidak alpa dan segera bersatu untuk menawarkan alternatif kepada rakyat.

"Ingatlah sifir ini: berpecah untung, bersatu rugi. Siapa yang untung kalau pembangkang berpecah? Itulah yang mereka harapkan," tegas beliau lagi.