KUALA LUMPUR Peguam Rafique Rashid, hari ini menyelar kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan laporan permohonan pengampunan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) di Amerika Syarikat sebagai satu 'non-issue' atau bukan isu bagi Malaysia.
Menerusi satu kenyataan di laman Facebook beliau hari ini, Rafique menegaskan bahawa tindakan berlepas tangan tersebut bukan sahaja memalukan negara, malah meletakkan Malaysia sebagai bahan ketawa di persada antarabangsa.
Rafique membangkitkan bahawa skandal 1MDB telah dilabel oleh Amerika Syarikat sebagai "kleptokrasi terbesar di dunia," dengan anggaran USD 4.5 bilion (kira-kira RM21 bilion) wang rakyat telah disonglap antara tahun 2009 hingga 2015.
"Kita semua ditayangkan kehidupan mewah Jho Low... jutaan ringgit dia guna untuk berpesta, berdansa, belian-belian mewah, berjumpa dengan selebriti. Ini semua dalam pengetahuan umum," katanya dalam hantaran tersebut.
Beliau mempersoalkan mengapa Kerajaan Malaysia tidak mengambil kesempatan ini untuk menentang permohonan pengampunan tersebut bagi memastikan Jho Low dibawa pulang untuk "face the music" atau menghadapi pengadilan di tanah air sendiri.
Rafique turut mengingatkan Perdana Menteri tentang sejarah kejatuhan Barisan Nasional pada PRU-14 tahun 2018 yang berpunca daripada kemarahan rakyat terhadap skandal 1MDB.
Beliau menyifatkan adalah satu ironi apabila Anwar kini menganggap isu tersebut sebagai tidak penting, sedangkan naratif 1MDB jugalah yang membuka jalan kepada pembebasan dan pengampunan awal Anwar sebelum ini.
Menurut Rafique, sikap "mudah mengalah" kerajaan hari ini, terutama apabila melibatkan individu kaya dan berkuasa, memberikan mesej yang sangat berbahaya kepada rakyat dan komuniti antarabangsa.
"Mesej yang jelas adalah: tidak apa, kalau curi dari Malaysia, lari sahaja dan minta ampun di negara lain. Itulah kepimpinan yang ada dalam negara sekarang," tegasnya.
Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai sebarang permohonan pengampunan oleh Jho Low kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat, sambil menegaskan bahawa sebarang keputusan oleh negara tersebut adalah "urusan mereka sendiri."