KUALA LUMPUR Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan UMNO pada usia 80 tahun kini telah jauh menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya untuk membela agama, bangsa, dan negara.
Mantan Presiden UMNO yang paling lama berkhidmat itu mendakwa matlamat parti tersebut kini telah beralih sepenuhnya kepada usaha untuk memperkayakan diri sendiri. Menurut beliau, pemimpin-pemimpin UMNO sekarang tidak lagi mempunyai niat yang tulen untuk berjuang demi kepentingan orang Melayu.
Mengulas mengenai kerjasama UMNO dengan DAP, Tun Dr. Mahathir mendakwa tindakan itu diambil hanya kerana pemimpin tertentu dalam parti tersebut sedang berhadapan dengan masalah peribadi. Beliau menegaskan bahawa kerjasama tersebut dilakukan semata-mata demi menjamin keselamatan diri pemimpin berkenaan dan bukannya atas dasar perjuangan bangsa yang hakiki.
Tambah beliau lagi, kedudukan orang Melayu dalam gabungan politik semasa kini dilihat semakin lemah kerana orang Melayu lebih bergantung kepada DAP berbanding sebaliknya. Keadaan ini menyebabkan DAP menjadi lebih berpengaruh dan berkuasa dalam menentukan hala tuju serta keputusan gabungan tersebut.
"Orang Melayu tidak percaya (kepada kerajaan sekarang) kerana mereka melihat dasar-dasar DAP lebih diutamakan daripada dasar-dasar yang memihak kepada orang Melayu," kata beliau dalam satu temubual podcast baru-baru ini.
Menyentuh mengenai pola pengundian akan datang, Tun Dr. Mahathir menyarankan agar orang Melayu mengetepikan sikap taksub kepada parti dan bersatu di bawah satu "payung besar". Di bawah konsep ini, beliau menggesa pengundi supaya memberikan sokongan kepada mana-mana calon Melayu yang mendukung cita-cita Melayu tanpa mengira latar belakang parti bagi memastikan kedudukan mereka tidak terus terhakis.
Beliau turut mendakwa bahawa pengundi Melayu kini berada dalam keadaan keliru, namun mereka sedar bahawa UMNO sebenarnya dikuasai oleh DAP. Tun Dr. Mahathir percaya sekiranya rakyat mahukan sebuah kerajaan Melayu yang kukuh, mereka berkemungkinan besar tidak akan lagi memberikan sokongan kepada UMNO dalam pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun, dengan perpecahan politik Melayu yang semakin meruncing di seluruh negara, beliau mengakui adalah sukar untuk menjangka keputusan pilihan raya yang akan datang kerana sokongan rakyat yang kini berpecah-belah.