HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

PRN Johor: Bukan Kekalahan Tapi Kemenangan Tertangguh.

Rafique Rashid

Ketua Penerangan Parti PEJUANG, Rafique Rashid.

KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) menggesa rakan gabungannya dalam Perikatan Nasional (PN) untuk melakukan bedah siasat atau 'post-mortem' secara menyeluruh dan jujur susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.

Ketua Penerangannya, Rafique Rashid, berkata keputusan rakyat dalam pilihan raya tersebut merupakan isyarat penting yang perlu diteliti secara objektif bagi memahami sentimen semasa.

Menurut beliau, sebagai sebuah gabungan politik, setiap parti komponen dalam Perikatan Nasional perlu memikul tanggungjawab bersama (collective responsibility) dalam menilai kekuatan serta kelemahan strategi yang digunakan.

"Bagi Perikatan Nasional, keputusan ini perlu dijadikan ruang untuk melakukan post mortem secara menyeluruh, jujur dan membina. Hasil penilaian ini penting bagi memperkukuhkan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan yang lebih mantap menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang serta Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16)," katanya dalam satu kenyataan di Facebook

Dalam PRN Johor yang baru berakhir, tumpuan diberikan kepada kerusi N.09 Gambir di mana PEJUANG mempertaruhkan Suraya Sulaiman sebagai calon Perikatan Nasional.

Meskipun gagal mendapat mandat daripada pengundi, Rafique menegaskan bahawa Suraya beriltizam untuk terus berkhidmat di kawasan berkenaan seperti yang dilakukannya selepas PRN Johor 2022.

Mengulas lanjut mengenai hala tuju gabungan itu, Rafique berkata sudah tiba masanya Perikatan Nasional memperkukuhkan gerak kerja organisasi dan menawarkan penyelesaian yang lebih diyakini untuk membina keyakinan rakyat.

Tegas beliau, PEJUANG tetap komited untuk meletakkan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan yang bersedia menjadi "kerajaan alternatif" melalui kerjasama erat antara parti komponen.

"Bagi PEJUANG, keputusan di N.09 Gambir bukanlah penamat kepada perjuangan, tetapi sebuah kemenangan yang masih tertangguh. Perjuangan untuk membela rakyat... akan diteruskan dengan lebih gigih, bersama Perikatan Nasional, menuju PRU-16," tambahnya lagi.