Barisan Nasional (BN) secara rasminya telah mencatatkan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 yang berakhir semalam, sekali gus mengesahkan dominasi mutlak gabungan itu di kubu kuat selatan tanah air. Keputusan ini menyaksikan BN berjaya membuktikan ramalan penganalisis sebelum ini adalah tepat, meskipun sebelum ini ia dinafikan oleh pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH)
BN merekodkan peningkatan jumlah undi yang amat signifikan dengan berjaya mengumpul sebanyak 1,118,559 undi, melonjak sebanyak 87 peratus berbanding hanya 599,753 undi yang diperoleh pada tahun 2022.
Sebagai perbandingan, PH hanya mencatatkan peningkatan undi sebanyak 49 peratus, dengan jumlah keseluruhan 611,983 undi berbanding 410,649 undi pada tahun 2022. Jurang undi yang besar ini menunjukkan peralihan sokongan yang jelas kembali kepada BN di peringkat akar umbi.
Selain peningkatan jumlah undi, kekuatan BN turut diterjemahkan melalui keberhasilan mereka merampas kerusi-kerusi strategik yang sebelum ini dikuasai oleh PH. Ia termasuk di N02 Jementah, N10 Tangkak, N42 Johor Jaya, N46 Perling, dan N51 Bukit Batu.
Dominasi BN paling terserlah di kawasan luar bandar dan pinggir bandar, di mana mereka hampir menyapu bersih kesemua kerusi bermajoriti Melayu. Daripada 40 kawasan yang dikategorikan sebagai majoriti Melayu, BN berjaya memenangi 39 kerusi, yang bersamaan dengan 97.5 peratus kadar kemenangan di kawasan tersebut.
Satu-satunya kerusi majoriti Melayu yang gagal ditawan BN ialah N13 Simpang Jeram yang kekal di bawah penguasaan PH dengan majoriti tipis 170 undi.
Keputusan luar biasa ini selari dengan unjuran yang dibuat oleh bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming, yang sebelum ini meramalkan BN mampu menguasai sehingga 53 daripada 56 kerusi DUN. Ramalan tersebut sebelum ini telah ditempis keras oleh Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil yang sebelum ini menyifatkan analisis Kian Ming sebagai sesuatu yang "jauh tersasar daripada realiti" dan tidak menggambarkan keadaan sebenar di lapangan.