KUALA LUMPUR Persaraan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari ini, 12 Mei 2026, tidak seharusnya dilihat sebagai titik noktah kepada pelbagai persoalan besar yang masih membelenggu agensi pencegahan rasuah tersebut.
Ketua Penerangan Parti Pejuang, Rafique Rashid, dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa meskipun Azam secara rasmi melepaskan jawatannya, isu akauntabiliti tidak hilang begitu sahaja bersama persaraan beliau.
Menurut Rafique, sepanjang tempoh pimpinan Azam, berlaku kejatuhan ketara dalam tahap keyakinan awam terhadap SPRM. Beliau membangkitkan beberapa isu yang dianggap masih belum terjawab, termasuk kontroversi pemilikan saham Azam Baki serta dakwaan mengenai taktik 'mafia korporat'.
Beliau turut mempersoalkan status beberapa individu yang disifatkan sebagai "kebal" daripada tindakan, dengan menamakan Farhash Wafa Salvador sebagai contoh individu yang namanya sering timbul namun sehingga kini tiada jawapan tuntas diberikan oleh pihak berkuasa.
Dalam nada tegas, Rafique menggesa Azam Baki agar tidak cuba untuk terus "mencorakkan" perjalanan SPRM dari luar selepas bersara. Sebaliknya, beliau mencabar Azam untuk membersihkan namanya sendiri pada hari terakhir perkhidmatannya.
""Undurlah dengan cara terhormat. Pada hari terakhir, isilah borang Seksyen 36(1) Akta SPRM dan biarlah diri disiasat secara telus," ujar beliau lagi bagi memastikan segala persepsi negatif terhadap kepimpinan sebelum ini dapat diselesaikan mengikut proses undang-undang yang adil.