HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Rawther Bimbang Nyawa Terancam

Yusof Rawther

Peguam Rawther, Rafique bersama pasukan pembelaan pada sidang media petang tadi di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Yusof Rawther, yang sebelum ini dilepaskan daripada pertuduhan memiliki dadah dan senjata api, dilaporkan telah memohon perlindungan suaka hak asasi manusia di United Kingdom (UK) kerana bimbang akan keselamatan nyawanya jika pulang ke Malaysia.

Peguamnya, Rafique Rashid Ali, mendedahkan bahawa anak guamnya kini berada di London dan pasportnya kini dipegang oleh pihak berkuasa UK.

Dalam satu sidang media hari ini, Rafique menjelaskan bahawa ketakutan Yusof berpunca daripada dakwaan bahawa beliau menjadi mangsa perangkap oleh individu yang berkuasa dalam negara.

""Beliau benar-benar berada dalam ketakutan, beliau benar-benar risau tentang keselamatan diri dia dan beliau risau beliau akan diapa-apakan," kata Rafique sambil menambah bahawa kebimbangan itu timbul selepas Yusof melalui proses undang-undang yang "menakutkan dan menyakitkan".

Menurut Rafique, Yusof secara konsisten menyatakan semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi bahawa beliau diperangkap oleh individu yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Farhash Wafa Salvador. Dakwaan ini juga telah direkodkan dalam alasan penghakiman Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Walaupun berada di luar negara, Rafique menegaskan bahawa Yusof tidak berniat untuk melarikan diri daripada proses undang-undang. Sebaliknya, anak guamnya telah memberikan arahan tegas untuk meneruskan pendengaran rayuan pihak pendakwaan yang dijadualkan pada 15 Jun 2026 di Mahkamah Rayuan.

Rafique telah menulis surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan pada 2 Jun 2026 untuk memohon agar mahkamah menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 314 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan rayuan didengar tanpa kehadiran responden (Yusof).

Rafique turut mempersoalkan tindakan pihak polis, khususnya Ketua Polis Negara (KPN), yang didakwa masih gagal memberikan jawapan konkrit mengenai status laporan polis yang dibuat oleh Yusof terhadap individu-individu yang dinamakan berkenaan.

""Ini nyawa manusia dan ini aduan yang dibuat kepada orang nombor satu dalam negara ini. Kenapa tak boleh... minta kertas siasatan dipulangkan kembali untuk menyiasat perkara ini?" soalnya.

Beliau menambah bahawa tekanan terhadap Yusof semakin memuncak apabila ahli-ahli parti PKR membuat laporan polis terhadap anak guamnya, mendakwa beliau sebagai "ejen asing" atau ejen Mossad hanya enam hari selepas beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Jun 2025.

Menepis dakwaan bahawa Yusof melarikan diri, Rafique menjelaskan bahawa Yusof meninggalkan Malaysia sebagai seorang individu bebas selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Beliau juga membandingkan situasi Yusof dengan beberapa kes kematian misteri melibatkan pegawai kerajaan yang masih belum terjawab, yang menurutnya menyumbang kepada rasa tidak selamat anak guamnya di dalam negara.

"Negara yang matang tidak akan mentertawakan ketakutan itu... Negara yang matang adalah negara yang akan menyiasat, menjawab dan memberikan keyakinan," tegas Rafique.