HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Insiden Jammer Mirip Kes Pamela Ling—Aktivis

Wan Muhammad Azri

Aktivis Wan Muhammad Azri ketika ditemubual dalam podcast Khabarnya Musim ke-2, Episod ke-5 baru-baru ini.

KUALA LUMPUR Aktivis Wan Muhammad Azri Wan Deris, mendakwa insiden penemuan alat pemancar gangguan (jammer) di kediamannya baru-baru ini mempunyai persamaan dengan modus operandi penculikan Datin Pamela Ling.

Dalam pendedahan terbaru melalui podcast "Khabarnya" yang dikendalikan oleh Saudara Shamsul Akmar dan Zulkifli Othman, Azri menyatakan kebimbangannya bahawa peranti tersebut bukan sekadar untuk mengganggu siaran langsungnya, tetapi berkemungkinan merupakan sebahagian daripada rancangan untuk menculik beliau.

Azri mendedahkan bahawa seorang rakan telah mengingatkan beliau mengenai kes kehilangan Datin Pamela Ling yang sehingga kini masih belum ditemui. Menurut Azri, dalam kes tersebut, penggunaan jammer didakwa menjadi sebahagian daripada taktik untuk melumpuhkan komunikasi mangsa sebelum "dihijack".

"Bila saya fikir balik, adakah itu yang dia orang nak buat? Saya beranggapan... mungkin jammer itu dipasang untuk tutup WiFi, selepas itu mereka akan serbu masuk rumah saya, colek (culik) saya, dan ambil dekoder CCTV," katanya merujuk kepada taktik yang didakwa pernah berlaku dalam kes-kes profil tinggi sebelum ini.

Azri menjelaskan bahawa gangguan internet di rumahnya berlaku secara berulang pada waktu tengah malam sebelum penemuan beg misteri yang mengandungi jammer aktif. Beliau percaya fungsi utama jammer tersebut adalah untuk memutuskan sambungan CCTV yang bergantung kepada rangkaian WiFi, sekali gus menghalang sebarang bukti visual dirakam sekiranya berlaku pencerobohan fizikal.

Dakwaan ini dikukuhkan dengan kehadiran sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna hitam yang dilihat menunggu di hujung jalan semasa kejadian, serta cubaan individu tidak dikenali untuk mengambil semula beg tersebut sebelum melarikan diri.

Apa yang mencetuskan lebih banyak persoalan adalah tindakan Skuad Pemusnah Bom PDRM yang bertindak meletupkan peranti tersebut di lokasi kejadian tanpa melakukan imbasan (scan) terlebih dahulu. Azri menyifatkan tindakan itu sebagai satu usaha memusnahkan bahan bukti yang kritikal.

"Jammer ini barang agensi kerajaan sahaja yang boleh guna... sama ada tentera, polis atau MCMC," tegasnya sambil menambah bahawa peranti tersebut mempunyai nombor siri dan penjejak (tracker) yang boleh mendedahkan pemilik asalnya jika disiasat oleh unit forensik.

Beliau secara terbuka menyatakan suspek utama di sebalik rancangan ini adalah pihak polis, memandangkan kehadiran pantas anggota berpakaian preman dari luar kawasan (didakwa dari Bukit Aman) dan penggunaan peralatan yang dikawal ketat oleh undang-undang.

Azri turut melahirkan rasa kesal apabila dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa kes tersebut pada mulanya diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) atas alasan beliau tidak membuat laporan, walaupun beliau telah memaklumkan komitmen mahkamah pada pagi kejadian.

Sehingga kini, Azri mendakwa tiada sebarang maklum balas atau perkembangan terbaru daripada pihak polis berhubung siasatan dalaman yang dituntutnya mengenai prosedur pemusnahan bahan bukti tersebut.