HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

1 dari 4 Melayu Undi UMDAP, Anwar Akan Kekal PM—Isham

Isham Jalil di Pejabat PAS Petaling Jaya

Isham Jalil ketika berucap di Ceramah Umum di pejabat PAS Kawasan Petaling Jaya malam tadi.

PETALING JAYA: Mantan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil, memberi amaran bahawa strategi bertanding secara "solo" yang dilaungkan pihak tertentu hanyalah muslihat untuk memecahkan undi orang Melayu bagi memastikan DAP terus memegang kuasa.

Bercakap dalam satu ceramah umum di Pejabat PAS Kawasan Petaling Jaya di sini malam tadi, beliau mendakwa gabungan kerajaan masa kini tidak memerlukan sokongan majoriti orang Melayu untuk mengekalkan kedudukan di Putrajaya.

Menurut Isham, berdasarkan pola pengundian, sekiranya hanya seorang daripada empat orang Melayu (25 peratus) memberikan undi kepada gabungan yang menyokong Anwar Ibrahim, ia sudah memadai untuk mengekalkan beliau sebagai Perdana Menteri.

"Di negara ini, kalau tiga perempat pengundi Melayu (75 peratus) sokong Perikatan Nasional sekalipun, tetapi satu perempat atau 25 peratus lagi undi Anwar Ibrahim, beliau tetap akan jadi Perdana Menteri," katanya merujuk kepada sokongan padu hampir 98 peratus daripada pengundi bukan Melayu kepada blok kerajaan.

Beliau menyifatkan strategi "solo" yang diperkatakan ketika ini sebagai "solo olok-olok" yang bertujuan mengelirukan pengundi supaya memecahkan undi kaum Melayu.

Tegas beliau, mana-mana pengundi Melayu yang masih memilih untuk menyokong blok kerajaan dalam pilihan raya akan datang dianggap sebagai penyumbang kepada pengukuhan kuasa DAP.

Beliau melabelkan golongan yang memecahkan undi Melayu sehingga membolehkan formula 25 peratus itu berjaya sebagai "pengkhianat perjuangan orang Melayu dan Islam" serta menyifatkan mereka sebagai "barua".

"Walaupun kita menang majoriti tiga perempat undi Melayu, mereka dapat satu perempat sahaja undi Melayu, kita habis. Duit kita dipegang oleh mereka, subsidi ditarik, dan mereka buat ladang-ladang ikut acuan mereka," tambah beliau lagi.