SEPANG: Proses perbicaraan kes terhadap aktivis politik, Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Sir Azri, tamat hari ini selepas seramai 10 orang saksi selesai memberi keterangan di Kompleks Mahkamah Sepang.
Saksi terakhir yang dipanggil merupakan pegawai penyiasat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Bercakap dalam satu kenyataan di sini, Peguam bela, Rafique Rashid, menegaskan bahawa kes tersebut merupakan sebuah pendakwaan politik yang menyalahgunakan agensi kerajaan ekoran isu dalaman parti PKR yang diseret ke mahkamah.
Menurut Rafique, pembelaan turut membangkitkan persoalan mengenai kesahihan pihak yang memulakan dan menularkan berita berkenaan 11 ahli parlimen PKR yang dikatakan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, yang menjadi subjek utama pertuduhan tersebut.
Dalam pada itu, Wan Muhammad Azri yang turut ditemui media mendakwa pegawai penyiasat SKMM yang merupakan saksi dalam perbicaraan, dalam keterangannya bersetuju bahawa kes tersebut bermotifkan politik dan hanya melibatkan urusan dalaman parti PKR.
Malah beliau turut memaklumkan telah membuat beberapa laporan polis sebelum ini berkaitan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan kezaliman sepanjang siasatan dijalankan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 Julai ini bagi menentukan sama ada Wan Muhammad Azri perlu membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan.