KUALA LUMPUR: Aktivis rakyat dan mantan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil, hari ini menyelar tindakan penyokong UMDAP (UMNO-DAP) kerana menunjukkan reaksi melampau terhadap pertemuannya dengan negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Isham mendakwa kumpulan penyokong kerjasama UMNO-DAP itu seolah-olah tidak senang melihat usaha penyatuan atau pertemuan sesama pemimpin Melayu.
"Bila kita jumpa Tun Dr Mahathir, dia orang tak suka. Tapi bila dia orang 'cium mulut' dengan DAP, dia suka. Ini semua penjilat 'UMDAP mantap', memang itulah hipokrasi dia," katanya dalam satu sesi siaran langsung di Facebook milik beliau baru-baru ini.
Dalam masa sama, Isham turut menjawab naratif yang sering dimainkan oleh penyokong kerajaan yang menyalahkan Tun Mahathir atas pemenjaraan Datuk Seri Najib Razak. Beliau menegaskan bahawa rekod sejarah menunjukkan Najib dihantar ke penjara ketika kerajaan diterajui oleh Perdana Menteri daripada UMNO.
Beliau juga membidas sikap membisu penyokong UMNO terhadap kecaman-kecaman pedas yang dilemparkan oleh DAP dan PKR terhadap Najib serta UMNO pada masa lalu, sedangkan kini mereka begitu setia bekerjasama dalam kerajaan.
Isham turut membangkitkan persoalan mengenai nasib Najib yang sudah tiga tahun dipenjarakan. Beliau mempersoalkan mengapa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim, yang turut disokong oleh UMNO, dilihat seolah-olah menghalang usaha untuk membenarkan Najib menjalani tahanan di rumah.
Mengulas mengenai dinamika politik semasa, Isham menjelaskan bahawa pada masa lalu, pemimpin Melayu boleh bertelagah kerana politik Melayu masih dominan dan DAP berada di luar kerajaan. Namun kini, beliau mendakwa kuasa tersebut telah diserahkan kepada DAP oleh kepimpinan UMNO di bawah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Bila pemimpin Melayu nak buat penyatuan ummah, nak bekerjasama, mereka kata tak boleh sebab (sejarah) dulu. Tapi apa yang kamu buat (dengan DAP) kamu tak nampak," katanya lagi.