HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

'Tolak UMNO' hanya retorik, PH masih 'berpelukan' dalam kerajaan—Peguam

Rafique Rashid

Peguam dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rafique Rashid. Foto: Malaysia Gazzette

KUALA LUMPUR: Peguam Rafique Rashid menyifatkan sorakan "Tolak UMNO" yang bergema dalam Ceramah Perdana Pimpinan Utama Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan malam tadi sebagai satu bentuk retorik politik yang jauh panggang dari api.

Dalam satu hantaran di media sosial hari ini, Rafique berkata, meskipun penyokong dan pimpinan PH lantang melaungkan sentimen menolak parti tersebut, realiti politik di Putrajaya dan beberapa negeri lain menunjukkan kerjasama antara kedua-dua pihak tetap utuh.

Rafique menarik perhatian kepada kedudukan UMNO dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan di mana parti itu masih memegang jawatan penting dalam Kabinet.

Beliau menegaskan bahawa Perdana Menteri (PMX) masih mengekalkan Timbalan Perdana Menteri (TPM) I daripada UMNO, selain barisan menteri kabinet dari parti tersebut yang masih disokong oleh PH.

Keadaan yang sama, katanya, turut berlaku di peringkat negeri termasuk di Negeri Sembilan sendiri, meskipun terdapat dakwaan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar yang disifatkan beliau sebagai pemimpin minoriti daripada PKR/PH.

Mengulas lanjut, Rafique mendakwa sandiwara politik ini akan terus diulang-ulang oleh kedua-dua pihak demi kepentingan individu tertentu. Beliau turut memberi amaran bahawa selepas pilihan raya, kedua-dua blok ini berkemungkinan besar akan bergabung semula seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

"Once bitten twice shy. Jangan biar dipatuk ular lagi. Rakyat mesti bijak. Dengar boleh, percaya jangan," katanya