BAKRI: Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil mendakwa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kini berada dalam keadaan "panik" di Johor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 2026.
Menurut Isham, kebimbangan itu berpunca daripada kemungkinan peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi Cina, yang menurutnya merupakan talian hayat kepada Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
Bercakap dalam satu Ceramah Mega di Simpang Jeram semalam, Isham memberikan perbandingan dengan PRN Johor 2022, di mana Barisan Nasional (BN) memenangi 40 kerusi kerana hanya separuh daripada 800,000 pengundi Cina keluar mengundi.
"Kalau 800,000 pengundi Cina keluar mengundi (pada 2022), Barisan Nasional cuma menang 19 kerusi sahaja, bukan 40," katanya sambil menambah bahawa Anwar kini giat menggerakkan program untuk memastikan pengundi DAP pulang mengundi.
Isham turut memberi amaran kepada penyokong UMNO di Simpang Jeram, sebuah kawasan yang mempunyai 53 peratus pengundi Melayu. Beliau mendakwa kehadiran calon UMNO, Datuk Azman, hanya akan memecahkan undi Melayu dan memberi kemenangan mudah kepada Amanah (PH).
Beliau membangkitkan senario di mana jika PH memenangi lebih banyak kerusi berbanding BN, jawatan Menteri Besar Johor mungkin tidak lagi milik Datuk Onn Hafiz Ghazi.
"Kalau PH dapat lebih satu kerusi, bukan Onn Hafiz jadi Menteri Besar Johor. Maszlee (Malik) yang akan jadi Menteri Besar Johor," ujarnya kepada para hadirin
Dalam usaha menghalang kerjasama antara BN dan PH selepas pilihan raya, Isham menggesa ahli "UMNO original" supaya memberikan undi mereka kepada calon PAS, Arshed Yahya @ Awang di Simpang Jeram serta di 10 kawasan DUN lain di mana PAS bertanding menentang UMNO.
Isham menyatakan kebimbangannya bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan memilih untuk bekerjasama dengan PH dan DAP bagi membentuk kerajaan, seperti yang didakwanya berlaku di Negeri Sembilan sebelum ini.
"Kalau kita undi PAS, pasti kita tak dapat DAP. Dijamin 100 peratus. Kalau PAS menang, PAS akan bekerjasama dengan DAP atau tak? Sudah pasti tidak," tegas beliau
Isham menyasarkan agar PAS memenangi sekurang-kurangnya 11 kerusi DUN bagi memberi tekanan kepada kepimpinan pusat UMNO untuk membentuk "Kerajaan Penyatuan Ummah" (BN-PAS) di Johor.
Menurut beliau, sekiranya gabungan itu berjaya menguasai majoriti (misalnya 31 kerusi), ia akan menjadi titik permulaan kepada penyatuan orang Melayu di negeri tersebut.
"Masa itu kita cakap kepada UMNO pusat, dan UMNO negeri Johor yang original ni, mari kita buat kerajaan penyatuan ummah di negeri Johor. Barulah kita mulakan penyatuan orang-orang Melayu," katanya lagi.