KLUANG: Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai sekadar janji ‘bulan dan bintang’ yang tidak berpijak di bumi nyata.
Menurut beliau, tawaran yang dikemukakan oleh gabungan itu dilihat tidak realistik untuk dilaksanakan dan hanya bertujuan untuk memikat hati pengundi semata-mata tanpa mengambil kira realiti ekonomi semasa di Johor.
Rafizi secara khusus menyentuh mengenai janji PH untuk membina 80,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun, yang menurutnya melangkaui keupayaan kewangan sebenar kerajaan negeri.
“Manifesto PH itu memang janji ‘bulan dan bintang’. Contohnya, rumah mampu milik itu, mereka tidak melakukan kiraan terlebih dahulu ke? Kerana kalau 50,000 kediaman sahaja ia sudah memerlukan RM20 bilion,” katanya dalam satu pertemuan bersama media.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana projek tersebut mahu dilaksanakan memandangkan hasil kerajaan negeri hanya mencecah RM4 bilion setahun.
Mengulas lanjut mengenai ketidaksamarataan antara janji dan bajet negeri, Rafizi menggunakan tamsilan kenderaan bagi menggambarkan situasi tersebut.
“Sepatutnya apabila hendak buat manifesto, kena lakukan kiraan kos dahulu. Sama macam orang yang nak membeli kereta Mercedes tetapi mampu beli kapcai sahaja,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa para pengundi agar lebih kritikal dalam membuat penilaian terhadap setiap janji yang ditawarkan oleh semua parti politik sebelum hari pengundian pada 11 Julai ini.