HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Cekap Mendakwa Orang Miskin, Lembap Mendakwa Penghina Sultan—Peguam

Rafique Rashid dan Fahmi Fadzil

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (kiri) berkata kemungkinan akaun palsu telah digunakan bagi menyebar hantaran menghina Sultan Selangor, di media sosial.

KUALA LUMPUR: Peguam yang juga Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rafique Rashid, mempersoalkan kecekapan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang didakwa masih gagal mengheret individu yang menghina Sultan Selangor.

Dalam satu hantaran di media sosial hari ini, beliau menyifatkan MCMC kini bertindak dengan "amat efisyen" dan "padu" dalam memantau setiap kandungan melalui kakitangan pemantau serta moderator kandungan yang ramai.

Rafique mendakwa keupayaan teknikal MCMC kini semakin ampuh susulan pengenalan Online Safety Act 2025 dan polisi baharu yang mewajibkan syarikat telekomunikasi menyerahkan metadata pengguna, termasuk log panggilan, statistik penggunaan internet, koordinat GPS, serta alamat IP.

Bagaimanapun, beliau membangkitkan persoalan mengapa kecekapan itu dilihat lebih menjurus kepada pihak yang mengkritik kerajaan, khususnya melibatkan Presiden PKR atau kementerian di bawah parti tersebut.

"Sepanjang masa ini kita lihat pengkritik kerajaan, suri rumah, orang pencen, orang miskin, serta rakyat biasa yang berhadapan tindakan reman, siasatan atau pertuduhan. Semuanya kerana cari pasal dengan Presiden PKR atau kerajaan yang ada menteri PKR," katanya dalam hantaran tersebut.

Beliau turut mempersoalkan mengapa sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap akaun-akaun palsu yang menghina Sultan Selangor, sedangkan MCMC mempunyai kuasa luas untuk menggeledah, merampas peranti, dan memohon reman.

"Mengapa pula akaun palsu yang menghina Tuanku Sultan Selangor tidak dikenakan tindakan? Bukankah MCMC sudah ada data IP semua pengguna?" soal beliau.

Rafique menegaskan bahawa jika MCMC mampu menyiasat sehingga "ke lubang cacing" demi kepentingan PKR, agensi itu sewajarnya menunjukkan dedikasi yang sama dalam mengesan dalang-dalang lain yang menyentuh sensitiviti institusi diraja.