HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Potongan Bajet RM10b: Lim Sian See Persoal Menteri DAP 'terlepas'

Lim Sian See

Pempengaruh Media Sosial, Lim Sian See. Foto: FMT

KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Eric See-To, atau lebih dikenali sebagai Lim Sian See, mempersoalkan kewajaran cadangan pemotongan bajet pengurusan tahun 2026 yang didakwa hanya tertumpu kepada kementerian tertentu, manakala kementerian yang diterajui oleh menteri daripada DAP nampaknya tidak tersenarai.

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, beliau merujuk kepada laporan media yang mendakwa kerajaan mencadangkan potongan bajet sebanyak RM10 bilion. Langkah itu diambil susulan unjuran beban subsidi yang dijangka melonjak drastik daripada RM15 bilion kepada RM54.8 bilion.

Menurut Lim, daripada jumlah sasaran penjimatan tersebut, sebanyak RM8.33 bilion telah dikenal pasti melibatkan kementerian yang dipimpin oleh menteri daripada PKR, UMNO, dan Amanah (PAN).

Baki RM1.67 bilion lagi dilaporkan akan dijimatkan menerusi pelbagai kaedah lain yang melibatkan Badan Berkanun Persekutuan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC dan GLIC).

Lim membangkitkan persoalan mengapa lima kementerian yang diterajui oleh pemimpin DAP—iaitu Kementerian Pengangkutan, KPKT, Kementerian Digital, Kementerian Wilayah Persekutuan, dan Kementerian Pembangunan Usahawan—tidak tersenarai dalam cadangan potongan besar tersebut.

"Adakah kementerian lain kena ikat perut, tetapi projek-projek seperti tandas 'BMW-i' RM1 juta sebiji dan MyKiosk RM25,000 sebiji atau Majlis Toilet of The Year (TOTYA) bawah Menteri KPKT, Nga Kor Ming masih boleh berjalan tanpa potongan besar?" soal beliau dalam hantaran tersebut.

Beliau menegaskan bahawa sekiranya kerajaan benar-benar komited untuk berjimat, prinsip keadilan harus diutamakan.

"Jangan sampai kementerian kesihatan, pendidikan tinggi dan pendidikan kena potong, tetapi kementerian yang sibuk dengan projek papan tanda, kiosk dan tandas mahal pula selamat," tambah beliau lagi.