KUALA LUMPUR, 17 Julai 2025 – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, hari ini menyuarakan kebimbangan serius mengenai keadaan semasa institusi kehakiman negara dan hala tuju reformasi yang sedang berjalan. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi ini, Tun Dr. Mahathir menyoroti beberapa isu kritikal yang didakwanya tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah Malaysia..
Antara kebimbangan utama yang dibangkitkan oleh Tun Dr. Mahathir adalah situasi negara yang "tidak berketua hakim" dan potensi kekosongan "tiga puluh hakim," yang disifatkannya sebagai sesuatu yang belum pernah terjadi. Beliau turut mempersoalkan insiden "kebocoran" maklumat yang didakwa tidak betul, namun tindakan telah diambil terhadap "pembocor," menimbulkan persoalan mengenai kesahihan dakwaan tersebut..
Dr. Mahathir juga menyentuh mengenai pelbagai tuduhan termasuk "campur tangan" dalam isu-isu sensitif. Beliau menggesa pihak terlibat untuk "tengok tangan sendiri, kotor atau tidak," sekaligus merujuk kepada integriti dan kebertanggungjawaban Perdana Menteri dalam membuat keputusan.
Dalam sindiran beliau juga menegur pihak kerajaan yang kini menyekat kebebasan bersuara rakyat, terutama berkait isu pelantikan hakim, isu titah addendum, atau penjualan saham MAHB dan isu mengenai "3R".
Dr. Mahathir secara sinis berkata, rakyat seolah-olah ditutup mulut mereka dan dipaksa mengikut telunjuk pemerintah sewenangnya. Ini menurut beliau adalah sebahagian daripada "reformasi" yang pernah diperjuangkan dahulu termasuklah tindakan kerajaan yang menahan serta merampas harta rakyat tanpa sebab".
"Bertuahlah Malaysia. Bukan sahaja undang-undang tidak dipeduli, nak bersuara pun tak boleh. Reformasi memang hebat. Jeritlah Reformasi!!"
Tun Dr Mahathir Mohamad (17 Julai 2025)