Kuala Lumpur — Bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Eric See To, dalam hantarannya di platform X hari ini menyifatkan peruntukan bagi Khidmat Hutang (bayaran faedah) yang telah mengatasi jumlah Subsidi dan Bantuan Sosial untuk rakyat, sebagai satu “sejarah” buat julung kalinya dalam Belanjawan negara tahun 2025.
Beliau memetik angka RM54.7 bilion yang diperuntukkan untuk Khidmat Hutang, berbanding RM52.6 bilion untuk Subsidi dan Bantuan Sosial.
Beliau berkata, secara tradisinya, subsidi merupakan komponen terbesar dalam perbelanjaan operasi, yang bertujuan untuk mengurangkan beban rakyat. Namun, sejak tahun 2023, hampir RM20 bilion subsidi telah dipotong.
Persoalan kini timbul mengenai ke mana "penjimatan" daripada pemotongan subsidi ini disalurkan? soal beliau.
Data belanjawan mendedahkan peningkatan ketara dalam Khidmat Hutang, melonjak dari RM46.3 bilion pada tahun 2023 kepada RM54.7 bilion pada tahun 2025. Selain itu, kategori "Lain-lain" yang tidak jelas juga menunjukkan lonjakan yang membimbangkan, meningkat lebih dua kali ganda dari RM5.2 bilion pada 2023 kepada RM13.3 bilion pada 2025.
Eric berkata, perkara ini mencetuskan persoalan dan kebimbangan sama ada subsidi dan bantuan untuk rakyat telah dikorbankan semata-mata untuk menampung pembayaran faedah hutang kerajaan dan perbelanjaan misteri di bawah kategori "lain-lain".